Search form

Selasa, 02 September 2014

11,000 tiket teater Supermokh Sebuah Muzikal terjual

Hiburan
1 of 1
Hans (berdiri, tiga dari kiri) bersama Awie dan barisan pelakon teater Supermokh Sebuah Muzikal di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hans (berdiri, tiga dari kiri) bersama Awie dan barisan pelakon teater Supermokh Sebuah Muzikal di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malay

Allahyarham Mokhtar Dahari membuktikan keunggulannya sebagai lagenda bola sepak apabila lebih 11,000 tiket teater Supermokh Sebuah Muzikal yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di Kuala Lumpur sudah habis dijual.

Menurut penerbit teater tersebut, Hans Isaac, tiket berharga dari RM38 hingga RM306 untuk pementasan yang bermula semalam hingga 18 November ini telah dibeli kebanyakannya oleh syarikat korporat pada setiap malam.

"Kami amat bertuah apabila teater ini mendapat sokongan kuat daripada syarikat korporat yang sudi menaja tiket setiap malam untuk minggu pertama pementasan ini.

“Justeru, kami menjangkakan jualan tiket mampu mencapai sasaran syarikat iaitu melebihi 80 peratus memandangkan ia merupakan sebuah teater yang dipentaskan panjang selama 12 hari ," katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Hans, kejayaan jualan tiket Supermokh Sebuah Muzikal turut disumbang barisan pelakonnya apabila ia menampilkan nama-nama besar seperti Awie sebagai Mokhtar dan Maya Karin selain Rashidi Ishak, Dina Nazir, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.

Jelas aktor popular itu, teater yang diarahkannya bersama Harith Iskandar itu dijangka menerima sambutan hebat pada malam-malam terakhir berikutan senario peminat teater yang gemar menonton pada saat-saat akhir.

"Selain itu, kisah hidup Mokhtar yang tidak diketahui ramai mengundang tarikan terutama para peminatnya yang tersendiri dari pelbagai lapisan termasuk golongan atasan untuk datang ke Istana Budaya," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sedang dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-4147 8600 atau 019-211 1600.

Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun kerana menghidap penyakit Motor Neuron Disease.  

Kehebatan Allahyarham menjaringkan sebanyak 125 gol untuk Malaysia di peringkat antarabangsa dan 177 gol buat Selangor membolehkan beliau diberi gelaran istimewa iaitu Supermokh.

Sementara itu, Malam Gala Supermokh Sebuah Muzikal akan diadakan pada 11 November ini yang bakal dihadiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Supermokh Sebuah Muzikal berkisar tentang persahabatan, kesetiaan dan kasih sayang Mokhtar kepada isterinya, pasukan Selangor dan negara serta peminat-peminatnya walaupun digambarkan sebagai seorang lelaki yang pendiam.

Antara kisah hidup Mokhtar yang menarik dipentaskan dalam teater itu apabila membongkar rahsia kenapa beliau berhenti bermain bola untuk Selangor dan Malaysia selama 2 tahun sebelum kembali semula beraksi di atas padang.

Teater ini turut menceritakan perasaan sedih dan tekanan yang dialami Mokhtar apabila tidak lagi mampu menjaringkan gol di penghujung kariernya hingga digelar kuda tua dan menerima kutukan daripada sesetengah pihak.

Kecintaan Mokhtar terhadap bola sepak dan pasukan Selangor turut dipaparkan apabila beliau bekerja pejabat di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan bergegas menjalani latihan selepas itu dengan bayaran RM3.

Lebih menarik, Supermokh Sebuah Muzikal membongkar rahsia kenapa Mokhtar menghadiahkan jersinya kepada Sultan Sharafuddin (ketika itu Raja Muda Selangor) pada aksi teraksi terakhir di atas padang sebelum bersara dalam arena bola sepak.-MalaysiaGazette

 

Tags: 
Supermokh
teater
Hans Isaac

 

 

Comments

randomness