Wee Jeck Seng

PEKAN NANAS – Pekebun kecil sawit di Johor digesa mendaftar keahlian Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk mendapat faedah yang disediakan melalui aktiviti koperasi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, penyertaan pekebun kecil di Johor sebagai ahli KPSM masih rendah iaitu kurang dari satu peratus.

Di Johor, sebanyak lima KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad.

Namun, jumlah keahlian bagi lima KPSM ini hanya 318 orang pekebun kecil.

Menurutnya, pekebun kecil boleh berhubung dengan Pegawai TUNAS MPOB setempat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan KPSM.

”KPSM ditubuhkan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya,” katanyak program ketika berucap dalam majlis Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang dirasmikan beliau di sini, hari ini.

Tambah beliau, penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

KPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok BTS melalui penubuhan Pusat Timbang dan sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan BTS mencecah 82,612.37 tan.

Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.

Sehingga Mac 2022, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara yang mana 24 daripadanya di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak.

Jeck Seng berkata kementeriannya melalui MPOB turut menyedia bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecik Sawit (IPPKS).

Kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).

“Insentif yang disediakan oleh kerajaan dan tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit dan pendapatan pekebun kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 31 Mac 2022, seramai 18,155 orang pekebun kecil persendirian berlesen dengan jumlah keluasan tanaman sawit sebanyak 41,395 hektar masih belum dipersijilkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Johor.

Sedangkan, kerajaan menyedia insentif sebanyak RM230 juta yang dikawal selia oleh MPOB bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO.

Insentif ini merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia, katanya.

Terdapat 62,979 orang pekebun kecil persendirian yang berlesen dengan MPOB dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 159,487 hektar di Johor.

Sementara itu, seramai 44,824 orang dengan keluasan tanaman sawit sebanyak 118,092 hektar atau 74 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian berlesen telah memperoleh sijil MSPO. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Macam mana boleh jadi harga sawit lebih 6000 setan tapi peneroka hanya dibayar setiap seribu lebih sahaja . Adakah berlaku kos melampau atau penipuan peringkat kilang

Comments are closed.