Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2018

Ramai tertanya-tanya apa akan berlaku pada 31 Mac jika permohonan Datuk Seri Najib  Razak untuk  menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, dibenarkan atau ditolak.

Sejak beberapa hari kebelakangan sudah ada ‘countdown’ oleh penyokong bekas Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO BN itu.

Seandainya mahkamah membenarkan kes itu disemak, Najib akan melangkah keluar dari penjara.

Tujuan pasukan pembela membawa semakan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan untuk membuktikan Najib tidak mendapat perbicaraan rayuan yang adil di hadapan panel terdahulu yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pda 23 Ogos tahun lalu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, peguam Datuk N.Sivananthan berkata, jika permohonan itu dibenarkan, keputusan panel terdahulu akan diketepikan dan perkara itu akan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan panel baharu.

“Andai permohonan itu dibenarkan, bermakna rayuan terakhirnya belum dilupuskan, jadi beliau akan diletakkan dalam situasi ‘seseorang’ yang masih menunggu rayuan terakhirnya dan, kerana sebelum rayuan terakhir, dia telah diikat jamin, dan jaminan itu akan dikembalikan.

“Jaminan sepatutnya diberikan kepada Najib,” katanya.

Datuk N. Sivananthan

Perkara sama turut dikongsikan oleh peguam Fahmi Abd Moin yang mana beliau berpandangan sekiranya keputusan semakan pada Jumaat ini berjaya dan menyebelahi Najib, maka rayuan akan didengar semula di hadapan panel Mahkamah Persekutuan yang baharu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Panel yang baharu akan mendengar keseluruhan merit fakta dan undang-undang, sama ada keputusan sabitan terhadap Najib adalah wajar dan tiada khilaf oleh mahkamah rayuan. Jika panel baharu merasa ada kecacatan dalam keputusan tersebut, maka Najib akan dilepaskan dari semua pertuduhan,” katanya.

Fahmi menambah, jika keputusan semakan tidak memihak kepada Najib, maka beliau akan kekal dalam sabitan dan tiada lagi rayuan yang boleh dibuat atas keputusan semakan tersebut.

Rata-rata penyokong Najib kini begitu teruja dan mengira detik dengan harapan tokoh politik berusia 69 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan pada Jumaat ini.

Peguam mewakili Datuk Roy, Fahmi Abd Moin

Imbas kembali insiden yang berlaku pada 23 Ogos lepas, peguam baru Najib iaitu Datuk Hisyam Teh Poh Teik bertindak enggan berhujah dengan alasan beliau memerlukan lebih masa,sekali gus memohon mahkamah menangguhkan prosiding berkenaan.

Beliau kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menarik diri daripada mewakili Najib. Namun, permohonan Hisyam ditolak oleh mahkamah dan ‘memaksa’ Hisyam untuk mewakili Najib, untuk rekod bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak mengemukakan rayuan terakhirnya tahun lepas.

Bagi peguam Mohamed Haniff Khathri Abdullah juga memberitahu jika permohonan Najib dibenarkan, maka, kes SRC akan didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dihadapan hakim baru.

Sebelum ini, kes itu didengari Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan beliau memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib pada 2020.

Kata Haniff lagi, jika permohonan ditolak, maka Najib perlu menjalani hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan ke atasnya sementara memperolehi pengampunan diraja.

Mohd Haniff Khatri Abdulla

“Beliau boleh mendapatkan pengampunan diraja, namun, perlu menjalani hukuman penjara dalam tempoh tertentu terlebih dahulu… proses pengampunan akan mengambil masa kerana ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Semua individu yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman berhak memohon pengampunan diraja di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, mereka perlu melalui hukuman penjara terlebih dahulu dalam tempoh tertentu, baru Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat berkala akan meminta laporan daripada pihak penjara untuk disediakan dan dinasihatkan kepada Seri Paduka termasuk laporan bertulis daripada Peguam Negara sebelum pengampunan diberikan,” ujarnya.

Baru-baru ini, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah pada prosiding semakan SRC di Mahkamah Persekutuan berkata, Najib bukan sahaja tidak dibenar untuk menangguhkan prosiding, malah Hisyam ‘dipaksa’ untuk kekal berada dalam prosiding biar pun, telah memohon untuk menarik diri.

Muhammad Shafee berkata, Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Hisyam dilepaskan daripada mewakili Najib dan berkata ia merupakan ‘representasi paksa’ oleh peguam yang tidak berkesan, dan tidak bersedia dengan hanya bertindak secara pura-pura.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta. -MalaysiaGazette