Search form

Selasa, 17 Januari 2017

Kenapa pertikai agenda ekonomi bumiputera

Primary tabs

Juris
1 of 1
Malay
Dua hari sebelum sambutan perayaan Hari Malaysia ke-50, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan inisiatif kerajaan baru, APEB (Agenda Perkasa Ekonomi Bumiputra). Peristiwa penting itu berlangsung di   Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
 
Sebelum memperincikan inisiatif terbaru kerajaan ini, Perdana Menteri “merakamkan setinggi-tinggi penghargaan” kepada rakyat negara ini, “terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera” yang telah memberi sokongan kuat kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13. 
 
Kerajaan juga, kata Najib, telah mendengar pelbagai rungutan, keluh-kesah serta ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera tentang nasib, masa depan dan halatuju mereka. 
 
Beliau juga menyatakan mengikut perangkaan rasmi pada 2012, dari 27.4 juta warga Malaysia, 18.6 juta (atau 67.9%) adalah Bumiputera. Fakta itu penting, mesti diambil kira dan difahami sepenuhnya . Oleh itu agenda Bumiputera mesti dilihat sebagai satu agenda nasional. 
 
Perdana Menteri juga menekankan betapa andainya majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada 2020. 
 
Katanya, jurang ketaksamaan pendapatan antara etnik” masih wujud. Contohnya pada 2012, pendapatan purata kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera, iaitu pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda. Mengenai pegangan ekuiti syarikat korporat, sasaran 30 peratus  masih belum dicapai walaupun negara sudah merdeka lebih 5 dekad. Yang tercapai setakat ini adalah sekitar 10 peratus“effective control” sahaja. 
 
Lantaran itu, bagi mengatasi masalah yang telah berlanjutan itu kerajaan memperkenalkan lima langkah baru bagi memperasa ekonomi Bumiputera seperti berikut –
•Daya modal insan Bumiputera;
•Memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat; 
•Memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera;
•Memperhebat keusahawanan & perniagaan Bumiputera; dan
•Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan. 
 
Seperti yang dijangka inisiatif terbaru kerajaan itutelah diselar dan dikritik oleh puak-puak tertentu. Terserah kepada rakyat jelata membuat kesimpulan apakah sebabnya puak-puak ini menentang mati-matian APEB ini.
 
Ahli Parlimen Serdang, Dr.  Ong Kian Ming berkata, agenda baru untuk Bumiputera ini akan “menghancurkan ekonomi dan hubungan sosial negara dalam jangka panjang” (lihat portal http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/agenda-bumiputera-naji...)
 
Barangkali ahli Parlimen Serdang ini tidak dengar (atau sudah dengar tapi masih tidak percaya) bila Perdana Menteri menyatakan dengan jelas dalam ucapannya pada 14 September itu: "Sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.”
 
Sehubungan itu, Perdana Menteri juga menyatakan - 
“ … Saya meminta kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa”.
 
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, dalam komen awalnya mengenai APEB, bertanya apakah Datuk Seri Najib Razak kini telah menggugurkan secara muktamad Model Ekonomi Baru (New Economic Model NEM) yang dilancar olehnya tiga tahun lalu, pada 30 Mac 2010? (sila lihat http://blog.limkitsiang.com/category/najib-razak/). 
 
Seorang tenaga pengajar Universiti Malaya, profesor madya Dr Azmi Sharom dipetik sebagai berkata inisiatif baru kerajaan ini “tidak disolong oleh undang-undang” kerana peruntukan mengenainya tidak ada dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Azmi menyatakan bahawa agenda ini bertentangan dengan prinsip sama-rata yang dijanjikan oleh Perlembagan. 
 
Sekiranya langkah-langkah baru ini dicabar di mahkamah, Azmi menyatakan belum pasti lagi mahkamah akan memutuskan ia selaras dengan kehendak Perlembagaan dan undang-undang. 
 
Peguam Tommy Thomas pula mengatakan bahawa APEB ini mengamalkan diskriminasi, sambil merujuk kepada Perkara 8 Perlembagaan yang melarang apa juga tindakan yang mendiskriminasikan sesuatu puak atau kaum.
 
Seorang “penganalisis politik” bernama Wan Saiful Wan Jan pula berkata Perdana Menteri sudah terlajak jauh dari apa yang fikirkan (dirancang) oleh penggubal asal Dasar Ekonomi Baru. Dia berpendapat kita perlu sensitif kepada realiti politik dan memeriksa semula kenapa dua peruntukan penting dalam Perlembagaan (Perkara 153 dan 3) perlu dikekalkan. Dia menjangka kedua-dua peruntukan penting ini akan dimansuhkan dalam tempoh satu atau dua dekan dari sekarang. (sila lihat http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/new-bumi-agenda-uncon...).
 
Kritikan Azmi dan Tommy Thomas tidak sukar dijawab. Ketiadaan peruntukan dalam Perlembagaan tidak bermakna suatu dasar yang dibuat atau langkah yang dijalankan oleh badan eksekutif itu salah atau bertentangan dengan Perlembagaan. 
Sebaliknya, ketiadaan peruntukan itu bermakan dasar atau langkah bermakna dasar atau langkah tersebut tidak dilarang atau dihalang. Mengenai hak sama rata yang disebutkan dalam Perkara 8 itu, ia mesti dibaca dengan peruntukan lain dalam Perlembagaan (misalnya Perkara 153) dan dasar affirmatif kerajaan yang telah dilaksanakan untuk sekian lama. 
 
Mengenai pandangan Saiful bahawa umur peruntukan tertentu dalam Perlembagaan akan tamat dalam tempoh satu atau dua dekad lagi, itu terserahlah kepada mana-mana parti yang menerajui kerajaan pada masa itu nanti – sama ada ia berhasrat sedemikian dan ada menguasi dua-pertiga majoriti di Parlimen untuk membuat pindaan atau memansuhkan peruntukan berkenaan.
 
Mengenai soalan Lim Kit Siang berhubung pengekalan atau pengguguran Model Ekonomi Baru, jawabnya terserahlah kepada kerajaan membuat keputusan sewajarnya setelah melihat prestasi atau perjalan sesuatu dasar itu. Suatu dasar itu bukan sesuatu yang diukir pada batu, malahan ia mesti sesuatu yang anjal dan mampu diubahsuai mengikut zaman dan aspirasi rakyat, yang berhak mendapatkan perlindungan dan kesejahteraan dari pemerintah.           
 
Pengendali blog http://mediawangsamaju.blogspot.com/ memberi pandangan yang menarik mengenai APEB. Kata beliau kerajaan tidak perlu bersikap apologetik atau merasa bimbang jika ada pihak lain di negara ini atau masyarakat antarabangsa melihat inisiatif terbaru kerajaan ini sebagai suatu yang bersifat diskriminasi. 
 
Yang penting, agenda ini perlu diterjemahkan kepada struktur ekuiti yang baru.  Jurang kekayaan etnik di negara ini perlu diperbetulkan, agar Melayu – Bumiputera (yang merupakan hampir 68 peratus warga negara ini) akhirnya menguasai lebih daripada 50 peratus kek ekonomi negara.
 
Blogger tersebut berpantun:
 
Kita tak hendak ke seberang,
Kita hendak ke kota,
Kita tak hendak hak orang,
KITA HENDAK HAK KITA .
 
 
 
Tags: 
Salleh buang
bumiputera
juris

 

 

Comments

Subuh 5:40
Zohor 1:00
Asar 4:22
Maghrib 6:58
Isyak 8:10