Home Kembara Frankfurt bukan lagi bandar yang membosankan

Frankfurt bukan lagi bandar yang membosankan

Adalah tidak adil kerana sejak berdekad-dekad lamanya, Frankfurt ‘menderita’ akibat menerima reputasi buruk dalam kalangan warga asing yang menyifatkan ia sebagai bandar yang membosankan.

Bandar ini sebenarnya tenang dan serius, sesuai dengan reputasinya sebagai pusat kewangan paling penting di Eropah, lantaran itu ia jarang menjadi pilihan pertama bagi pengunjung, ekspatriat atau penuntut.

Sebaliknya, ramai menggemari bandar-bandar Jerman yang lan seperti Berlin yang dikenali sebagai bandar politik dan kosmopolitan, Alpina Munich, kota yang indah dan bandar parti, Cologne.

Meskipun begitu, Frankfurt tidak kurang hebatnya. Ia adalah sebuah bandar yang mempunyai penduduk pelbagai budaya dan suasana kebudayaan yang berkembang maju.

Setiap tiga orang di Frankfurt, seorang adalah warga asing.

Dan apabila United Kingdom memutuskan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, bintang Frankfurt semakin meningkat. Bandar itu bakal mendapat manfaat kemasukan sehingga 20,000 kakitangan bank yang mungkin berpindah ke situ jika London kehilangan akses kepada pasaran tunggal.

Dengan pekerja yang menerima gaji mahal, maka permintaan perkhidmatan terhadap Frankfurt dijangka meningkat. Frankfurt dan bandar-bandar lain seperti Amsterdam dan Paris mula ‘memikat’ bank-bank yang berpangkalan di London.

Frankfurt – sebagai bandar kewangan ekonomi Eropah  mempunyai kelebihan berbanding pesaing-pesaingnya. Ini kerana Frankfurt adalah destinasi Bank Pusat Eropah dan beberapa bank-bank terbesar di Jerman seperti Deutsche Bank, Commerzbank, KfW dan HypoVereinsbank.

Sebagai tambahan, bandar itu adalah pangkalan lapangan terbang ketiga terbesar selepas London dan Paris.

Satu lagi bonus, kos hidup di Frankfurt lebih murah berbanding London. Memiliki cuaca sederhana, lokasi  mendaki, berbasikal di gunung yang menyegarkan dan ladang anggur berdekatan. Semua ini ditawarkan dalam suasana bandar besar dan berkomuniti dengan masyarakat ekspatriat.

Kebanyakan orang tempatan akan memberitahu anda bahawa Jerman memiliki keamanan dan kedamaian yang kukuh, yang mana mengamalkan undang-undang mengharamkan bunyi dan kurangnya aktiviti membeli-belah pada hari Ahad.

Sebaliknya, warga Frankfurt sering menghabiskan masa di kafe pada hari Ahad, bermain skate di sepanjang Sungai Main atau menaiki basikal ke Gunung Taunus atau minum di taman bir.

Atau meluangkan masa melawat muzium seperti Muzium Staedel, yang menawarkan kajian lengkap hampir tujuh ratus tahun seni Eropah dari awal abad ke-14 hingga kini melalui kira-kira 3,000 lukisan, 600 ukiran, lebih daripada 4,000 gambar-gambar dan lebih daripada 100,000 lukisan dan cetakan oleh artis seperti Dürer, Botticelli, Rembrandt, Monet, Picasso dan banyak lagi.

Bagi sesiapa yang baru tiba di bandar ini, sumber-sumber Internet seperti kumpulan ekspat di Facebook dan panduan Online pendatang baru menyediakan maklumat dalam bahasa Inggeris yang cukup membantu. Bagi yang gemar bersemuka, bandar ini menganjurkan festival tuan rumah setiap bulan September.

Semasa ini, mereka yang baru tiba boleh mengetahui mengenai syarikat-syarikat, institusi kerajaan dan bukan badan bukan kerajaan dengan perkhidmatan yang disasarkan kepada komuniti antarabangsa. Ia termasuk bahasa, sekolah memandu, penasihat cukai, kelab antarabangsa, teater, sekolah dan muzium.

Seorang rakyat Amerika, Justin Crane yang bekerja dengan Opel berkata, jika anda ingin mendapatkan sebuah apartmen, anda biasanya memerlukan akaun bank untuk berbuat demikian. Dan jika anda mahu akaun bank, anda akan memerlukan satu alamat untuk itu. Begitu juga untuk Internet di tempat baru, ia mengambil sedikit masa.

“Adalah lebih baik jika anda menggunakan ejen. Jika anda tidak menggunakan ejen, anda mungkin perlu bersabar, tetapi ekspatriat lain di kelab-kelab sosial atau di forum-forum akan membantu menunjukkan kepada anda cara untuk mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.

Tetapi untuk mencari sebuah apartmen, jangan sesekali mengharapkan ejen hartanah, kata Peterson, sebaliknya lebih baik melakukannya sendiri.

Sebabnya, ejen biasanya tidak memberi kerjasama kerana mereka hanya memaklumkan  hartanah dalam portfolio mereka sahaja. Kebanyakan agen bekerja dengan  agensi-agensi kecil dan mungkin hartanah yang ada terhad.

Merumitkan lagi keadaan apabila undang-undang baru memerlukan tuan tanah membayar yuran ejen bagi kediaman yang disewa. Ini bermakna lebih ramai pemilik harta individu melakukan pencarian penyewa sendiri. Lagipun kebanyakan mereka tidak boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik, selain tidak mempunyai waktu fleksibel bagi membolehkan penyewa melihat kediaman yang bakal disewa terlebih dahulu.

Untuk itu, Peterson menasihatkan pendatang baru Frankfurt menggunakan perkhidmatan Immobilienscout24, Immonet, eBay Kleinanzeigen dan Craig’s List Frankfurt.

Kebanyakan orang memilih apartmen yang dekat dengan pejabat, biasanya dekat dengan Frankfurt seperti Bornheim kejiranan yang meriah), Bockenheim (penempatan besar penuntut), West End (lokasi yang serius) dan Ostend (bakal menjadi ibu pejabat baharu ECB)  yang popular kerana hubungan transit yang baik.

Keluarga yang mencari kediaman tunggal cenderung untuk tertarik kepada kampung-kampung Taunus – Kronberg, Oberursel atau Bad Soden.

Harga sewa dalam bandar puratanya antara 13 hingga 18 euro (AS$14.40 – AS$20) meter persegi – memiliki tiga bilik tidur pada harga AS$1,887 hingga AS$2,220 sebulan termasuk bil utiliti.

Ekspatriat yang mempunyai anak boleh memilik sekolah yang menawarkan dua dan tiga bahasa atau salah sebuah sekolah antarabangsa terbesar, Frankfurt International School (FIS).  Harga tuisyen sekolah bermula daripada AS$111 hingga AS$133 bagi setiap orang setiap bulan.

Sekolah yang mempunyai rekod baik dalam program dua bahasa mengenakan sehingga AS$1,000 sebulan.

Kebanyakan pekerja di Frankfurt berbasikal atau berjalan kaki ke tempat kerja. Jika anda menggunakan komuter setiap hari, anda akan menikmati pas bulan dengan kadar kurang daripada 100 euro ($ 110) untuk perjalanan di dalam bandar. Jika anda merangkumi lebih banyak zon jauh, harga tambang lebih tinggi, misalnya, kepada kira-kira €130 ($144) sebulan untuk merangkumi kampung-kampung Taunus.

“Bagi saya Frankfurt adalah praktikal. Di sini ada bakat antarabangsa, lebih banyak peluang pelaburan untuk pangsapuri, restoran dan barang dapur; dikelilingi  istana, kampung-kampung yang menarik dan ladang anggur yang menyegarkan di sekitarnya. Frankfurt menawakan pakej menarik untuk diterokai,” kata Peterson.

Carbonell, yang berasal dari Barcelona pula berkata, “Saya rasa Frankfurt hebat. Ia antarabangsa. Ia adalah budaya dan ia menawarkan gaya hidup. Saya mempunyai pelanggan dari London, Paris, Madrid, dan mereka suka sini kerana dari A ke B di London mengambil masa tiga atau lima kali lebih banyak masa seperti di sini”.

Tetapi jika apa yang dihidangkan oleh Frankfurt tidak meyakinkan anda, jangan bimbang. Paris dan Amsterdam hanya mengambil kira-kira empat jam perjalanan dengan keretapi.

Atau anda boleh menaiki pesawat untuk hujung minggu yang panjang pada pelbagai pilihan penerbangan terus dari lapangan terbang yang besar – hanya 20 minit dari pusat bandar. – MalaysiaGazette