Penduduk Kampung Kelewek, Tanah Merah berpesta banjir. - Gambar ihsan penduduk Kg Kelewek

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang dipindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Kelantan meningkat kepada 187 orang hari ini berbanding 53 mangsa semalam.

Mangsa paling ramai dipindahkan dari Kampung Chenulang, dekat Kuala Krai iaitu 132 orang melibatkan 35 keluarga.

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang seramai 63 orang dan PPS Pusat Asuhan Kuala Pertang (69 orang).

Manakala 37 mangsa terbaharu melibatkan 15 keluarga dari Kampung Pangkal Meleret, Machang ditempatkan di PPS SK Pak Roman.

Mangsa banjir dari Kampung Lubok Agor, Tanah Merah juga bertambah kepada 18 orang, dan ditempatkan di PPS SK Sri Kelewek.

Sementara itu, Portal Info Banjir turut merekodkan paras air di lima sungai di negeri itu semakin naik dengan dua daripadanya telah melepasi paras amaran.

Dua sungai berada pada paras amaran sehingga jam 8 pagi ini ialah Sungai Lebir Tualang di Kuala Krai iaitu 31.44 meter (amaran 31 meter, bahaya 35 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas 8.73 meter (amaran 8 meter, bahaya 9 meter).

Tiga sungai yang telah melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai 21.55 meter (berjaga-jaga 20 meter, amaran 22.50 meter, bahaya 25 meter), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 13.35 meter (berjaga-jaga 12 meter, amaran 14 meter, bahaya 16 meter), dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 21.99 meter (berjaga-jaga 21.50 meter, amaran 22.50 meter, bahaya 23.50 meter).

Beberapa jalan kampung di sekitar Kampung Kelewek, Tanah Merah ditenggelami banjir berikutan Sungai Golok di Jenob melepasi paras amaran. – Gambar ihsan penduduk Kg Kelewek.

Setakat ini, dua jalan di Kuala Krai yang ditutup kepada kenderaan ringan ialah KM4.2 (Bukit Arang) Jalan Sungai Durian ke Kampung Chenulang dan KM1.3 (Batu Jong) Jalan Nal Station. – MalaysiaGazette