Search form

Selasa, 17 Januari 2017

Tolak sistem pengasingan dispensari atau hadapi risiko

Primary tabs

Pendapat
1 of 1
Malay

Sewaktu berada di negara jiran, saya kebetulan ditimpa sedikit masalah kesihatan dan terpaksa mendapatkan ubat dari farmasi kerana negara tersebut mengamalkan sistem pengasingan dispensari.

Di negara ini farmasi disebut apotek sementara pegawai farmasi dipanggil apoteker.

Semasa menunggu giliran saya terdengar beberapa perbualan antara pelanggan yang sedang mendapatkan ubat dengan apoteker yang mengendalikan ubat.

Seorang ibu muda yang sedang mendukung bayinya meminta untuk mendapatkan ubat demam. Apoteker bertanyakan berapa hari bayi itu sudah demam dan ternyata bayi sudah tiga hari demam.

Selain demam, bayi itu selsema dan batuk serta sekali-sekala muntah.

Selain menyediakan ubat demam, batuk selsema dan muntah, Apoteker juga menawarkan antibiotik yang kemudian dipersetujui oleh ibu muda itu dengan syarat diberikan yang berharga murah sahaja.

Kemudian tiba giliran seorang lelaki usia pertengahan yang sakit mata. Apoteker tanpa banyak soal jawab terus memberikan dua jenis ubat mata, satu jenis titis dan satu lagi jenis ‘ointment’ yang disarankan untuk digunakan pada waktu malam.

Kedua-dua pelanggan tidak membawa preskripsi dari doktor namun Apoteker tanpa rasa tanggungjawab untuk meminta pelanggan mendapatkan pemeriksaan terlebih dahulu langsung bertindak melakukan diagnosis sendiri hanya dengan sedikit pertanyaan singkat dan melihat pesakit secara sepintas lalu.

Malah tanpa rasa bersalah juga telah menjual antibiotik yang jelas menyalahi peraturan.

Kebiasaan generasi bijak siber yang hanya meng’google’ mencari ubat berdasarkan simptom lalu membeli ubat di farmasi mungkin boleh berakibat fatal sekiranya simptom yang mereka sangkakan hanya penyakit ringan ternyata sesuatu yang membahayakan seperti simptom gastrik yang mirip dengan serangan jantung.

Kurangnya keprihatinan pegawai farmasi yang dengan mudah melayani permintaan pelanggan tanpa mengambilkira keperluan pemeriksaan fizikal dan slip preskripsi ubat daripada doktor serta penjualan antibiotik dengan bebas mendedahkan pesakit kepada berbagai risiko.

Fenomena yang membimbangkan ini bukan lagi merupakan satu perkara baru tetapi sedang giat berlaku di mana-mana.

Pesakit melakukan diagnosis sendiri dan pegawai farmasi yang kurang prihatin sama-sama mengambil risiko yang besar dan membahayakan.

Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya pengambilan ubat sewenang-wenang itu berakhir dengan komplikasi yang mungkin berakhir dengan kecacatan kekal atau kematian?

Penjualan antibiotik dengan bebas akan menyumbang kepada resistensi antibiotik serta kewujudan superbug yang semakin parah dan rumit untuk diselesaikan di seluruh dunia.

Ke arah manakah hala tuju sistem kesihatan Malaysia sekiranya senario seperti di atas dibiarkan dan dihalalkan? Sedangkan sistem rawatan kesihatan dan pencegahan penyakit di Malaysia adalah terbaik.

Adakah senario yang saya kongsikan di atas akan berlaku di Malaysia seandainya sistem pengasingan dispensari dilaksanakan di negara ini?

Daripada mengambil risiko, maka lebih baik sistem sehenti di klinik swasta dikekalkan dan ditambah baik lagi. - MalaysiaGazette

 

 

Comments

Subuh 5:40
Zohor 1:00
Asar 4:22
Maghrib 6:58
Isyak 8:10