Search form

Sabtu, 21 Januari 2017

Dwen berkorban demi salun rambut

Primary tabs

Rencana
1 of 1
Malay

Duduk berbual dengan lelaki ini, sesungguhnya dia seorang yang kuat bekerja dan tabah menghadapi apa sahaja dugaan dalam dunia perniagaan.

Ini kerana bukan senang bagi seorang anak muda Melayu apatah lagi dalam usia 29 tahun untuk memulakan perniagaan salun rambut di bandar besar seperti Shah Alam.

Premis perniagaan di lokasi yang sibuk itu bukan sahaja sewanya mahal tetapi perlu bersaing dengan premis salun-salun sedia ada dan mempunyai nama selain rata-rata di monopoli bukan Melayu.

Ini bermakna dia perlu bekerja keras bagi mempertahankan salun miliknya supaya terus bertahan bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'.

Namun beliau bersyukur dan berbangga selepas sebulan beroperasi, Salun Head & Craft sudah berjaya menarik lebih 100 pelanggan.

Bambang Purwanto Soteto atau lebih selesa dikenali sebagai Dwen bertuah kerana berjaya menjadikan salunnya cepat dikenali kerana mempunyai ramai pelanggan tetap dalam kalangan pelanggan sedia ada ketika beliau bekerja di sebuah salun di Damansara sebelum ini.

Selain itu, ramai yang bertali arus datang di salunnya kerana ia diusahakan bersama isteri tercinta, Nabilah Nor Jeff, 31, yang dalam masa yang sama turut menyediakan perkhidmatan jurusolek untuk semua majlis.

Dwen dan isteri, Nabilah Nor Jeff mengusahakan bersama Salun Head & Craft di Shah Alam, Selangor.

Pasti ada yang akan singgah masuk mendapatkan khidmat dandanan rambut dan solekan terutama apabila perlu menghadiri untuk ke majlis atau sememangnya menjadi rutin mingguan.

Apatah lagi, kedudukan salon yang strategik yang terletak di tingkat atas sebuah Café Lad & Lassies dan membolehkan pelanggan memesan menu ketika membuat perkhidmatan mendandan rambut dan solekan yang kebiasaan mengambil masa lama.

''Salun ini menawarkan perkhidmatan yang jarang ditawarkan kerana berkongsi premis dengan sebuah kafe. Selain pelanggan, pasangan atau rakan yang menemani mereka dapat duduk bersantai di café tanpa bosan menunggu terlama lama.

“Saya tidak mahu mereka tertunggu-tunggu yang boleh menjejaskan perancangan mereka. Selain perkhidmatan yang berkualiti, saya akan mempastikan pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang diberikan,'' ujar Dwen yang berkelulusan Diploma Dandanan Rambut di Tony & Guy dan Hair Kunst Academy.

Selain itu,  beliau turut memilik sijil profesional, Mastering Colour juga dari Toy & Guy yang merupakan salun bertaraf antarabangsa yang berpengkalan di London.

Bapa kepada dua anak lelaki ini turut memiliki pengalaman bekerja di salun luar negara seperti Singapura selama dua tahun dan empat tahun di Vienna, Austria hingga melayakkan dirinya mempunyai Diploma Aprentis di sana.

Menurut Dwen, semasa usia remaja, minat dalam dalam dunia kecantikan dandanan rambut memang ada tetapi dia tidak pernah terfikir akan membuka salun rambut.
 
Apatah lagi pada awalnya, beliau mendapat banyak tentangan daripada keluarga kerana dia menuntut di Akademi Seni dan Kebudayaan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang muzik.
 
Keluarga lebih bersetuju jika dia bekerja dalam bidang bidang yang menjamin masa depan dan bukan berniaga apatah lagi dalam dunia kecantikan.
 
Namun dia tetap berdegil dan bertekad membuka perniagaan perkhidmatan mencantikkan rambut itu kerana yakin boleh berjaya dan akhirnya dapat membuktikan pada keluarga dengan memiliki salun sendiri yang jarang-jarang dimiliki anak Melayu di negara ini.
 
Sementara itu, Dwen percaya dalam perniagaan, beliau tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan.
 
Namun beliau tidak mudah patah semangat apa lagi berundur. Berfikiran positif dalam jiwa dan minda menjadikannuya tidak mengaku kalah pada pertengahan jalan.
 
''Untuk menjadi senang, saya tidak mempunyai pilihan selain bekerja kuat. Konsep dan pendekatan salun saya adalah ramah dan mesra dengan pelanggan. Walaupun baru sahaja kenal mereka, kini kebanyakan pelanggan saya mula menjadi kawan dan rakan-rakan melepak pada waktu lapang. Malah salun ini turut menjadi tumpuan selebriti tanah air walaupun pada mulanya saya tidak begitu mengenali mereka.
 
“Apa yang penting, saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan ini. Terus terang saya katakan tahun pertama berniaga cukup sukar bagi saya dan isteri. Perniagaan kecantikan menuntut sepenuh perhatian, tenaga, masa dan pengorbanan kerana perniagaan ini merupakan bidang yang sangat serius.
 
“Jika kita berani mengambil risiko, perniagaan kita akan terus maju. Bagi saya, perniagaan ibarat maruah diri seseorang kerana tiada seorang pun yang mahu hidupnya gagal dan diperlekehkan oleh pihak lain,'' ujar anak keempat daripada lima beradik itu.

Jadi penggemar fesyen rambut, jom singgah di Head & Craft, tidak salah mencuba buat pertama kali. Mana tahu anda akan jatuh cinta dengan perkhidmatan di sana selepas ini.

 

 

Orang ramai boleh mengnjungi salun itu yang terletak di atas Kafe Lads & Lassies di No. 12, Jalan Tengku Ampuan Zabedah J9/9, Seksyen 9 di Shah Alam, Selangor.
 
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Dwen di talian 019-800 0910.--MalaysiaGazette

 

 

 

Comments