Keadilan untuk murid luar bandar

SEKOLAH Kebangsaan Bukit Tampoi (SKBT) letaknya lebih hampir dengan pekan Kuala Nerang, Kedah berbanding Alor Star.

Jaraknya hanya lima kilometer ke Kuala Nerang dan kira-kira 30 kilometer ke Alor Star.

Tetapi disebabkan persempadanan semula daerah, sekolah tersebut yang 100 peratus muridnya adalah anak penoreh getah dan petani telah termasuk dalam daerah Kota Star dan dikategorikan sebagai sekolah bandar.

Pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu hanya seorang sahaja muridnya yang mendapat 5A.
Yang lainnya banyak mendapat 4A. Sebabnya, kegagalan mereka menguasai bahasa Inggeris (masalah biasa untuk pelajar-pelajar luar bandar yang terdiri daripada anak-anak penoreh getah dan petani).

Untuk tahun ini juga guru-guru SKBT tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk murid-murid mendapat 5A kerana mereka tahu mata pelajaran bahasa Inggeris bakal menjadi halangan.

Disebabkan status SKBT sebagai sekolah bandar, maka muridnya yang mendapat 5A yang hanya seorang itu dilayan sama seperti murid-murid yang datang dari sekolah bandar lain.

Akibat daripada persaingan tersebut, permohonan murid tunggal dari SKBT yang mendapat 5A pada UPSR yang lalu itu untuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga ditolak.

Penolakan tersebut kemungkinan disebabkan murid tersebut diketegorikan sebagai datang dari sekolah bandar.
Ini merupakan satu diskriminasi kepada murid-murid luar bandar yang datang dari sekolah seperti SKBT.

Malah dalam tempoh kewujudan SKBT sejak 30 tahun lalu, belum ada seorang pun muridnya yang berjaya menjejakkan kaki mereka ke tangga MRSM.

Sepatutnya mana-mana murid yang menjadi pelajar tunggal di mana-mana sekolah terutama di luar bandar diberi keutamaan untuk memasuki sekolah berprestij seperti MRSM supaya dapat dijadikan motivasi dan pendorong kepada guru-guru dan murid-murid lain untuk berusaha lebih keras mencapai kecemerlangan.
Sedangkan, jika diukur daripada segi keupayaan pencapaian 5A mereka sama seperti pelajar-pelajar sekolah lain.
Jadi, apa salahnya jika pihak Mara atau kerajaan membuka sedikit peluang kepada murid-murid cemerlang yang datang daripada sekolah seperti SKBT yang mana untuk muridnya mendapat 5A merupakan sesuatu yang sukar.

Guru-guru pula perlu berusaha dua atau tiga kali ganda berbanding sekolah bandar disebabkan kekurangan kemudahan.
Pengelasan status sekolah oleh Kementerian Pelajaran juga kena dibuat berdasarkan kedudukan geografi dan bukan berdasarkan ia berada dalam daerah mana.
Ini supaya dapat memberi keadilan kepada murid-murid luar bandar seperti di SKBT.

Diskriminasi seperti ini menyebabkan murid-murid di sekolah tersebut tidak ada motivasi untuk mengejar kecemerlangan.
Ini disebabkan rakan-rakan atau senior-senior yang cemerlang tidak mendapat layanan istimewa, sebaliknya sekadar menyambung pelajaran di sekolah biasa

Category: 

Comments