Saya tertarik dengan satu posting di facebook seorang insan bernama Jefri Chua yang hairan dengan kewujudan Ahli Parlimen Amanah.

Katanya dalam posting tersebut, menang atas tiket Pas tetapi letak nama MP Amanah. Bila Amanah bertanding pilihan raya

Walaupun dia berbangsa Cina berdasarkan namanya, ternyata lelaki ini seorang yang peka dengan senario politik terutama yang berlaku dalam Pas hingga tertubuhnya parti Amanah.

Apa yang tersirat di sebalik kata-katanya, saya andaikan mungkin dia sendiri berasa malu hendak menggunakan gelaran Ahli Parlimen Amanah yang memang sah menang atas tiket Pas.

Namun perasaan malu itu tidak ada dalam diri bekas ahli-ahli Pas yang menamakan diri mereka Ahli Parlimen Amanah.

Itu cuma andaian yang pada akal seorang yang waras sekalipun, Amanah sebenarnya belum ada wakilnya dalam Parlimen mahupun di mana-mana Dewan Undangan Negeri.

Kemudian, muncul pula sebuah laman Facebook yang diberi nama Penyokong MP Amanah atau dalam bahasa Melayunya Penyokong Ahli Parlimen Amanah.

Sokongan like yang diterima setakat hari ini sudah melebihi 10,000 dan boleh dikategorikan sebagai sebuah Facebook yang agak aktif melaporkan aktiviti semasa parti Amanah.

Saya tidak mahu mengatakan penggunaan MP Amanah itu salah atau tidak kerana itu mungkin sekadar nama tetapi sebagai menyokong kata-kata Jefri Chua, layakkah Amanah mendapat barisan Ahli Parlimen tanpa melalui sebarang proses pilihan raya?

Tidak kisahlah jika bekas-bekas Ahli Parlimen Pas itu merasakan kemenangan mereka adalah dengan kerjasama gabungan pembangkang iaitu pakatan rakyat dan bukan sebab Pas semata-mata.

Itu memang betul tetapi di mana Amanah waktu itu?

Kalau guna nama sebagai Ahli Parlimen Bebas, rasanya masih boleh diterima akal atau sedaplah juga telinga yang mendengar seperti mana bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sekadar pandangan, jangan sampai Ahli-Ahli Parlimen Amanah ini dijadikan bahan lawak kerana Amanah sendiri belum pernah tersenarai dalam sejarah pertandingan dalam mana-mana pilihan raya.

Pilihan raya umum ke-14 cuma tinggal dua tiga tahun sahaja lagi dan bersabarlah untuk mendapatkan pengesahan sebagai Ahli Parlimen Amanah! – MalaysiaGazette