Dalam sibuk-sibuk kumpulan baju merah mahu ‘menyambut’ peserta BERSIH 5, kumpulan Ali Tinju hari ini membuat laporan polis mahu pihak berkuasa menghalang kedua-dua kumpulan itu berhimpun.

Ali Tinju yang menjadi Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia itu berkata, perhimpunan kedua-dua kumpulan itu haram, tidak mendapat permit dan wajar dihentikan oleh pihak berkuasa daripada berlaku.

“Kami bimbang sekiranya kedua-dua kumpulan ini (baju merah dan baju kuning) bertembung tidak mustahil akan berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Wangsa Maju di sini hari ini.

Sebelum ini, pertubuhan yang diwakili Ali Tinju juga dikenali sebagai Gerakan Merah pernah bersama-sama dengan Pertubuhan Gabungan NGO-NGO Malaysia yang diketuai Datuk Jamal Md. Yunos.

Bagaimanapun kini mereka ‘berpecah’ namun kedua-dua kumpulan masih mengelarkan mereka kumpulan baju merah.

Dalam pada itu, Ali Tinju juga bimbang sekiranya berlaku perhimpunan pada 19 November ini, para peniaga di sekitar ibu kota akan terjejas kerana mungkin berlaku vandalisme.

“Ia juga mencemarkan imej negara di mata dunia selain merosakkan keharmonian dan kestabilan kaum di negara ini,” tegasnya.–MalaysiaGazette