Petang Island Resort yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju dari Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir merupakan antara tempat penginapan yang tersedia di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri pada sepanjang tahun, Petang Island Resort milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu merancang untuk menambah lebih banyak fasiliti bagi menampung lebih ramai pengunjung.

Menurut Eksekutif Pelancongan, Mohd. Arman Salleh beberapa penambahbaikan fasiliti di resort berkenaan melibatkan pembinaan dua unit asrama, beberapa calet tambahan serta beberapa unit yang sedang diperbaiki, diubah suai dan pembesaran restoran bagi memberi keselesaan kepada tetamu.

                                                     MOHD. ARMAN SALLEH

Mohd. Arman yang juga individu bertanggungjawab bertugas di resort berkonsepkan alam semulajadi itu berkata, penambahbaikan fasiliti juga seiring dengan pertambahan pakej pelancongan yang ditawarkan resort tersebut.

“Mungkin awal tahun hadapan kami akan mula menambah pelbagai aktiviti air seperti kayak, bot kayuh dan aktiviti menyelusuri sungai apabila semua calet telah siap dan sedia diduduki. Begitu juga dengan restoran, pada masa sekarang ia hanya mampu menampung 40 orang pada satu-satu masa dan kami sedang dalam usaha untuk membesarkannya dengan menambah bumbung di bahagian dek supaya sekiranya hujan, semua orang boleh makan di bawah bumbung,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media bersama KKLW baru-baru ini.

Setakat ini, Petang Island Resort mempunyai 33 unit chalet yang boleh menempatkan sehingga 50 orang pada satu-satu masa dan akan menambah 16 unit lagi bagi menempatkan 100 orang pengunjung.

Dua unit asrama yang boleh menampung 60-70 orang juga sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir tahun ini.

                                          Kamar Diraja

Resort indah dikelilingi alam semula jadi yang mendamaikan itu sering menjadi pilihan VVIP atau menteri untuk menginap di situ. Malah, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga sering menginap di Petang Island Resort sekiranya baginda berkunjung ke Tasik Kenyir.

Menurut Mohd. Arman, bagi menggalakkan para pengunjung menikmati keindahan alam semulajadi di sekitar resort berkenaan, setiap bilik tidak dibekalkan dengan televisyen apatah lagi kemudahan Internet.

Peti televisyen katanya hanya disediakan di restoran dan bilik VIP sahaja.

         Suasana ruang tamu di chalet eksekutif dua tingkat di Petang Island Resort

Mengulas lanjut mengenai pakej Petang Island Resort, Mohd. Arman berkata, pihaknya tidak menjual mengikut harga bilik sebaliknya harga adalah tertakluk kepada pakej seperti dua hari satu malam atau tiga hari dua malam.

Bagi pakej dua hari satu malam yang merangkumi perkhidmatan bot, makan dan aktiviti setiap individu perlu membayar sebanyak RM350 manakala pakej tiga hari dua malam pula dicaj pada harga RM500 seorang.

“Pakej melibatkan lawatan ke santuari kelah, air terjun Lasir, melawat Pulau Orkid, Pulau Rama-Rama dan Pulau Herba. Pakej tambahan seperti melawat Gua Bewah atau treking hutan ke pokok malunak iaitu sebatang pokok sebesar 26 pemeluk manusia dan berusia 300 tahun juga disediakan,” katanya lagi.

                                  Bilik tidur dalam chalet Petang Island Resort

Selain individu dan VIP, Petang Island Resort juga menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk syarikat korporat, kementerian dan agensi kerajaan serta mana-mana kumpulan yang mahu mengadakan kem bina semangat.

Ia juga menawarkan pakej lawatan harian yang merangkumi makan tengahari dan tiket di sekitar pulau-pulau di Tasik Kenyir pada harga yang berpatutan.-MalaysiaGazette