Home Ekonomi Harga minyak masih sekitar AS$50 setong

Harga minyak masih sekitar AS$50 setong

Harga minyak jatuh berikutan laporan kenaikan inventori minyak mentah Amerika Syarikat dan OPEC diunjur mengeluarkan lebih banyak bahan bakar itu pada November daripada yang dijangkakan.

West Texas Intermediate (WTI) jatuh 69 cent atau 1.3 peratus kepada AS$52.29 setong. Brent pula jatuh 1.1 peratus kepada AS$55.10.

Peniaga berkata, harga jatuh berpunca daripada kejutan dalam inventori mentah Amerika Syarikat.

Pasaran juga memberi tumpuan kepada kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat, mungkin menyokong dolar dan menyebabkan import bahan api didagangkan lebih mahal untuk negara yang menggunakan mata wang lain.

“Momentum terus berkurangan dalam pasaran minyak dengan Brent dan WTI rendah sedikit berbanding semalam kerana jangkaan inventori Amerika menunjukkan peningkatan di luar jangkaan yang besar sebanyak 4.7 juta tong,” kata Jeffrey Halley, Penganalisis Kanan di broker Oanda di Singapura.

Peniaga berkata, harga terus tertekan berikutan laporan daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang percaya pengeluar OPEC mengepam kira-kira 34.2 juta tong sehari minyak mentah pada bulan November, melepasi 500,000 tong sehari daripada anggaran rasmi OPEC.

Jika betul, ia akan menjejaskan usaha OPEC dan bukan OPEC seperti Rusia untuk mengurangkan hampir 1.8 juta tong sehari bagi mengurangkan lebihan bekalan.

Agensi itu berkata, bekalan minyak global meningkat kepada rekod 98.2 juta tong sehari pada bulan November, pengeluaran OPEC mengimbangi penurunan di tempat lain. – MalaysiaGazette