Meskipun mempunyai bentuk geografi yang berbeza serta cabaran yang berlainan, hubungan baik antara Malaysia dan India membolehkan kedua-dua negara berkongsi jalan penyelesaian bagi masalah masing-masing.

Ini dilakukan menerusi pemerhatian serta bantuan kepakaran dari kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, interaksi yang bermanfaat itu merealisasikan moto ‘Bergerak ke arah Asia tanpa sempadan’.

Hubungan baik Malaysia-India itu menurut Perdana Menteri adalah bersifat menyeluruh iaitu tidak hanya melibatkan hubungan dagang semata-mata.

“Kami bersatu di dalam mengutuk keganasan dan Malaysia bersedia untuk berkongsi Modul Nyah Radikalisasi Bersepadu bagi Keganasan dengan negara lain termasuk India.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman luas bekerjasama dengan kerajaan India sama ada di atas kapasiti sebagai Menteri Pertahanan pada suatu ketika dahulu serta Perdana Menteri untuk mengukuhkan peperangan terhadap ancaman yang kita sama-sama hadapi.

“Langkah-langkah taktikal ini adalah untuk memastikan kerjasama di peringkat keselamatan kerana ianya amat penting untuk mengekal dan membina keyakinan serta menukar kerjasama strategik yang kita meterai untuk melindungi rakyat masing-masing,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Ketua-Ketua Perniagaan Asia di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mengadakan sidang video yang mengalu-alukan hubungan baik negara tersebut dengan Malaysia.

Tambah Najib, rantau ini perlu mengambil satu langkah ke hadapan dengan mengukuhkan ikatan di antara negara Asia.

Ini bagi memanfaatkan persamaan yang dimiliki oleh setiap negara di rantau ini dan seterusnya berkongsi cara terbaik untuk bekerjasama.-MalaysiaGazette