Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
KUALA LUMPUR – Malaysia akan menuntut penjelasan China berhubung dakwaan peletakan aset ketenteraan republik itu di tujuh pulau buatan di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan menulis surat kepada rakan sejawatannya di China, Jeneral Chang Wanquan dalam tempoh terdekat bagi tujuan berkenaan.

“Saya juga akan menulis surat kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Ashton Carter berhubung gambar didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Amerika Syarikat, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) menunjukkan (didakwa) aset tentera China yang diletakkan di perairan itu,” katanya pada majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera ke-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara itu boleh menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat antarabangsa malah mampu menggugat kestabilan dan keamanan di Laut China Selatan sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Panglima Angkatan Tentera ke-19 antara Jen Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan di sini.

Raja Mohamed Affandi yang sebelum ini menjawat jawatan Panglima Tentera Darat selama kira-kira tiga tahun secara rasmi dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang ke-19 hari ini.

Beliau menggantikan Zulkifeli yang melepaskan jawatannya hari ini dan akan bersara wajib.

Raja Mohamed Affandi, 59, yang memulakan khidmatnya dalam ATM pada 1976 berkata amanah itu akan dipegang dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim mengambil alih tugas sebagai Panglima Tentera Darat ke-26 hari ini.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut mengumumkan pelantikan Timbalan Panglima Tentera Udara Left Jen Datuk Seri Affendi Buang sebagai Panglima Tentera Udara yang baharu menggantikan Jen Tan Sri Roslan Saad yang akan bersara berkuat kuasa 21 Dis ini.

— BERNAMA