A. Chandrakumanan

Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan pendiriannya berhubung isu kontroversi Zakir Naik.

Presidennya Datuk A. Chandrakumanan berkata, beliau memandang serius mengenai dakwaan Zakir telah diberi hak Permastautin Tetap (PR) Malaysia walaupun pernah dinafikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau mahu KDN mengkaji perkara itu kerana Zakir Naik diketahui sebagai ancaman keselamatan di India dan Malaysia tidak harus berikan status PR kepadanya.

“Zakir Naik dan ucapannya didapati menyentuh mengenai Hindu yang mana didakwa merendahkan keprcayaan dan kebudayaan agama lain sedangkan dia tak berhak menyentuh hal agama lain.

“Di Malaysia setiap agama ada ajaran tersendiri dan hidup harmoni sesama masyarakat majmuk tanpa sebarang persengkataan selama ini,” katanya dalam kenyataan disini.

Tambahnya, ajaran Zakir bukan sahaja bakal menjejaskan rakyat malah boleh mewujudkan ketidakharmonian.

“Jika benar Zakir hendak diberikan status PR, KDN perlu batalkan segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette