Tengku Adnan Tengku Mansor

Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM250,000 sebagai sumbangan kepada 300 kanak-kanak dan 23 buah gereja di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sumbangan tersebut adalah untuk meringankan beban ibu bapa yang bakal menyambut Hari Krismas kurang dua minggu lagi.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan untuk semua, jadi tidak timbul masalah untuk kita memberi bantuan kepada mana-mana kaum mahu pun agama.

“Ini adalah untuk membantu meringankan beban rakyat terutamanya penganut Kristian yang bakal menyambut perayaan Krismas tidak lama lagi,” katanya yang juga Setiausaha BN semasa sidang media selepas menyampaikan bantuan serta menemani kanak-kanak beragama Kristian terpilih untuk membeli-belah di sebuah gedung di ibu negara pagi tadi.

Menurut Tengku Adnan, inisiatif tersebut datang daripada kementerian beliau serta Yayasan Wilayah Persekutuan.- MalaysiaGazette