HULU TERENGGANU, 18 Dis -- Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (dua, kanan) melihat beberapa kanak-kanak melayari internet selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Chapu hari ini. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong Datuk Rozi Mamat (kanan). --fotoBERNAMA (2016)

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan tetap meneruskan siasatan terhadap Mohd. Faiz yang dilaporkan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menerusi laman sosial Facebooknya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, walaupun Mohd. Faiz telah memohon maaf namun siasatan terhadapnya perlu dilakukan kerana dipercayai kata-kata tersebut berbaur fitnah.

“Kalau kita lihat di dada akhbar beliau telah memohon maaf tetapi seperti biasa proses siasatan tetap akan dijalankan kerana perkara itu dah dibuat aduan dan kita akan siasat.

“Kenyataan yang dibuat seolah-olah berbaur fitnah dan sebagainya…proses siasatan akan dilakukan walaupun beliau mengambil tindakan memohon maaf dan sekarang ini proses siasatan masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (Chapu, Felda Mengkawang, Menerong dan Padang Tera) di Kampung Chapu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat dan Ketua Pengarah SKMM Wilayah Timur Md Rusli Ahmad.

Jailani berkata, SKMM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu sekiranya didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

“Kita nak beritahu kepada masyarakat bahawa mereka seharusnya bertanggungjawab atas apa sahaja kelakuan yang mereka buat.

“Saya pasti apabila mereka melakukan sesuatu, mereka mungkin mempunyai niat sesuatu terutamanya apabila mereka mengeluarkan kenyataan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai fitnah peletakan jawatan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Anggota Parlimen Rembau yang menjadi viral, Jailani berkata, ia mungkin dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mungkin ianya dilakukan pihak yang iri hati tentang perpaduan dan kejayaan UMNO…saya tidak tuduh mana-mana pihak tetapi saya harap ianya dapat dihentikan kerana lepas satu, satu fitnah berlaku.

“Saya juga telah minta SKMM untuk membantu dari segi siasatan dan teknikal, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati bersalah, kita tak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya. – Bernama