Mohd Shukrie Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad buat julung kalinya mengeluarkan koleksi setem khas yang mengabadikan bukan wajah pemimpin atau pembesar negara yang masih hidup.

Individu yang diberi pengiktirafan itu adalah trio emas Paralimpik negara di Rio 2016 Brazil iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter lelaki T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (Lontar peluru lelaki F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd Salleh berkata, ia bertujuan untuk meraikan pencapaian gemilang atlet paralimpik yang sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Kami cuba menghargai dan mengingati pencapaian mereka bertiga dengan meletakkan wajah sebenar dalam setem, dan untuk itu kelulusan diperlukan dari pelbagai agensi yang terlibat dalam hal ini.

“Seperti beberapa negara lain, kita pun secara tradisional ada protokol ketat untuk pengeluaran koleksi setem dan sampul surat hari pertama (FDC).

“Kita hanya sekadar letakkan gambar tokoh, pembesar negara atau Raja Raja Melayu sahaja. Kali terakhir kami siarkan wajah individu ialah tiga sasterawan negara pada tahun lepas tetapi mereka sudah tiada ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengeluaran koleksi setem khas ” Kegemilangan Emas Paralimpik Rio 2016″ di Galeri Setem, Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini.

Beberapa pengumpul koleksi setem yang menunggu seawal 7.30 pagi lagi tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan setem khas itu dan mengambil kesempatan untuk mendapatkan tandatangan ketiga-tiga atlet itu.

Menurut Mohd. Syukrie pihaknya mempunyai agensi khas yang mereka bentuk koleksi setem khas sebegini dan 140,000 keping setem khas ini telah dicetak di New Zealand.

Ujarnya lagi, mencetak setem individu bukan perkara mudah kerana seluruh pengumpul setem dari serata dunia memerhatikannya, termasuk pengumpul setem bidang sukan atau Olimpik sendiri dan ia akan mendukung nilai sejarah untuk ratusan tahun akan datang.

“Keluaran khas hari ini untuk memperingati sumbangan ketiga-tiga atlet paralimpik itu.

“Kami perlu terlalu spesifik dalam mengeluarkan koleksi khas setem sebab ramai pengumpul setem dari seluruh dunia akan kecewa jika kita mengeluarkannya secara banyak dan lebih kerap.

“Selain itu, standard, nilai dan keistimewaan tersendiri sesuatu setem khas perlu dijaga selalu kerana ia bukan setem normal,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette