Home Nasional Hindu Sangam, PAR gesa KDN siasat buku Ahmad Iqram

Hindu Sangam, PAR gesa KDN siasat buku Ahmad Iqram

R.S. Mohan Shan

Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk RS Mohan Shan mengambil tindakan terhadap dua buku tulisan Ahmad Iqram Mohamad Noor yang didakwa menghina agama Hindu.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau mengecam kedua-dua buku berjudul ‘Yahudi, Kristian, Hindu, Dan Buddha Berasal Dari Islam’ dan ‘Kau Sembah Apa?’ terbitan PTS Publishing House.

Mohan Shan meminta agar satu siasatan dilakukan terhadap penulis dan penerbit buku tersebut kerana mendakwa isi kandungannya boleh menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu dan juga mengancam ketentenraman masyarakat majmuk di negara ini.

“Pihak kami meminta satu perhatian dan campur tangan segera KDN (Kementerian Dalam Negeri). Apakah tindakan pihak KDN untuk memberhentikan penerbitan dan pengedaran buku-buku ini di kedai-kedai buku di negara kita,” ujarnya.

Menurutnya, buku ‘Yahudi, Kristian, Hindu, Dan Buddha Berasal Dari Islam’ khususnya Bahagian 2 Bab 6 bertajuk Agama Hindu Berasal Daripada Islam (m.s. 138 – 199) merakamkan perkara-perkara yang tidak dibuktikan oleh sejarah dan bertujuan untuk menyeleweng fakta sebenar dan kesucian agama Hindu.

“Agama Hindu bukan suatu agama yang diturunkan oleh Nabi Ibrahim seperti yang didakwa oleh penulis. Penulis, seorang bukan Hindu dan tidak ada kefahaman mendalam tentang agama Hindu dan tidak harus membuat sebarang andaian atau kesimpulan bahawa agama Hindu adalah sudah tidak asli dan sudah diselewengkan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan satu lagi buku bertajuk ‘Kau Sembah Apa?’ dimana penulis dikatakan mempersoalkan kepercayaan kepada teori Karma, kelahiran semula dan menceritakan kegiatan dakwah yang dilakukannya terhadap seorang Hindu bernama Jayabalan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pusat Aduan Rakyat Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan turut meminta KDN segera menyiasat perkaara itu dan menyekatnya daripada terus dijual dalam pasaran bagi mengelakkan konflik.

“Tiada mana-mana agama boleh mempersenda agama lain dan penulis buku ini berniat tidak baik dan berfikiran tidak benar yang tidak mempedulikan perpaduan di negara ini.

“Ahmad Iqram menulis buku itu tanpa pengetahuan dan pemahaman mendalam mengenai agama lain yang hanya mencerminkan ketakbertanggungjawaban dan sekadar andaian sendiri yang merendahkan agama lain,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette