Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pas Selangor tidak lagi mempunyai hubungan politik dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), walaupun sama-sama berada dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, menurut Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, parti itu tidak mempunyai masalah mengadakan program bersama PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, setakat ini Pas menerima dan memenuhi dua undangan ceramah umum di Selangor dengan kehadiran pemimpin PKR dan PPBM di negeri itu.

“Terkini pada 5 Disember lalu, menyaksikan kehadiran Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa Rasiah di atas pentas bersama dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Ceramah mega itu menarik sambutan luar biasa orang ramai, sekali gus menunjukkan penerimaan mereka dengan gandingan trio iaitu Pas, PKR dan PPBM,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Iskandar, Pas mempunyai hubungan politik yang baik dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan PKR dan ceramah melibatkan dua parti itu agak kerap diadakan.

‘Ceramah bersama pimpinan PPBM di Selangor hanya baru dimulakan, tapi Pas di Kelantan dan Terengganu telah terlebih dahulu menjemput pemimpin PPBM dalam ceramah mereka.

“Bagaimanapun, Pas masih bertegas untuk tidak bersama di atas pentas politik bersama DAP atau PAN kerana kita tidak mempunyai hubungan politik dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette