#kitabincang merupakan segmen temubual bersama artis, selebriti serta tokoh seni membincangkan isu berkaitan seni.

KUALA LUMPUR – Pengarah filem prolifik Dain Said tidak gentar untuk meneruskan perjuangannya menerbitkan filem yang tidak popular dalam kalangan audien tempatan.

Dengan matlamat mahu mencipta kelainan, Dain yang ditemui dalam wawancara khas menerusi segmen #kitabincang terbitan portal berita MalaysiaGazette menekankan tentang keinginannya mahu menukar kebiasaan yang sering disajikan kepada penonton filem tempatan.

Dalam temubual itu, Dain berkongsi perkembangan terbaru beliau iaitu selain menjadi penerbit dan pengarah filem, beliau juga aktif menerbitkan dokumentari dan projek seni mengenai etnik dan budaya.

“Projek dokumentari saya banyak mendapat penghargaan dan tayangan di peringkat antarabangsa. Menerusi projek ini saya membuat kajian tentang komuniti di Malaysia.

“Sejarah mereka ini saling berkaitan. Inilah yang memberi idea kepada saya untuk menghasilkan filem-filem,” ujar Dain yang baru muncul dengan filem Interchange.

Ditanya mengapa beliau masih mahu menerbitkan filem-filem berat yang ternyata gagal mendapat sambutan di pawagam, Dain berkata: “Lebih 20 tahun penonton tempatan disajikan dengan filem genre hantu, gangster dan komedi.

“Penonton sudah terbiasa dengan apa yang diberi, jadi tentunya ia akan mengambil masa untuk membina audien.”

Selain Interchange, Dain pernah menerbitkan filem Dukun dan Bunohan.

Ikuti wawanacara Dain di www.malaysiagazette.com menerusi segmen #kitabincang.

Segmen ini dikemudikan pengacara Wan Syahrul Amry. Sebelum ini Wan pernah menjadi pengacara program Layar Seni di RTM dan menjadi juruhebah di radio SuriaFM.

#kitabincang merupakan segmen temubual bersama artis, selebriti serta tokoh seni bagi membincangkan isu-isu berkaitan seni.

Antara penggiat filem yang ditemubual dalam segmen #kitabincang ialah Elly Suriati, Rostam Saad, Alfie Palermo, Datuk Jurey Latiff dan Zed Zaidi. — MalaysiaGazette