Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita dan simpati baginda terhadap mangsa dan ahli keluarga nahas bas ekspres di Pagoh awal pagi semalam.

Dalam laman sosial Facebook milik baginda, baginda menasihati pengguna-pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya terutama semasa musim cuti perayaan.

“Saya berasa amat dukacita dengan makluman berita kehilangan nyawa dalam tragedi kemalangan bas di Pagoh pada awal pagi Sabtu.

“Saya turut bersimpati kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga tersayang dalam tragedi yang memilukan ini.

“Semoga Allah S.W.T berikan semangat serta kekuatan kepada mereka yang sedang berkabung,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga mendoakan agar kesemua mereka yang cedera supaya pulih sepenuhnya.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan supaya tidak berlaku kecelakaan atau kehilangan nyawa apabila berada di jalan raya,” titah baginda.

Pada kejadian awal pagi tadi, bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru terjunam ke dalam curam dan merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayor di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Pagoh.

— BERNAMA