Khairuddin Abu Bakar

Selepas Anina Saadudin dipecat dari jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kini giliran Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula digesa supaya membersihkan dirinya daripada tuduhan skandal.

Gesaan itu dibuat oleh Pengasas Gerakan Selamatkan Malaysia, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang menyatakan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga tidak terkecuali daripada skandal yang membelenggu imejnya.

Katanya, beliau tidak mahu PPBM menjadi sasaran UMNO dan musuh parti politik untuk diserang ketika berhadapan dengan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

“Semua pihak jangan pandang remeh isu ini. PPBM mesti mengambil tindakan proaktif secara bernas untuk mematikan serangan UMNO terhadap isu ini pada musim pilihan raya umum kelak. Ini pasti berlaku,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Anina yang merupakan salah seorang pengasas PPBM mendakwa, telah dilucutkan dari jawatan Ketua Srikandi oleh parti itu kerana dikatakan terpalit dengan skandal di laman sosial.

Berikutan itu, beliau yang tidak berpuas hati dengan perlucutan jawatan berkenaan mahu Muhyiddin dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan perasaannya.

“Tanya perasaan Muhyiddin dan Mukhriz dahulu apabila dilucutkan jawatan oleh UMNO. Saya nak tahu jawapan mereka. Lepas tu saya jawab apa perasaan saya.

“Dulu ketika saya bela mereka, saya lupa nak bertanya perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang,” ulas beliau.

Sementara itu, Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md. Noor pula berkata, Anina sejak awal tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi.

Mengulas lanjut, menurut Khairuddin, jika Anina tidak dilantik ke jawatan Ketua Srikandi PPBM disebabkan viral kes skandal seksnya, ramai rakyat di peringkat akar umbi turut bertanya mengenai tuduhan kes skandal Muhyiddin dengan isteri orang pada suatu masa dulu.

Katanya, demi kebaikan kelangsungan hala tuju PPBM, presidennya perlu membersihkan nama serta imej beliau.

Malah, katanya, NGO Jaringan Melayu Malaysia membuat laporan rasmi mengenai kes Muhyiddin pada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ). – MalaysiaGazette