Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

Kenyataan terbaharu Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki, bahawa parti itu bersedia bergabung dengan mana-mana parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang, disifatkan oleh sesetengah pemimpinnya sebagai suatu kenyataan yang mengelirukan.

Disokong pula kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr. Mahfodz Mohamad, bahawa sekarang ini Pas bersendirian dan hanya bergabung dengan Parti Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, menambahkan lagi kekeliruan berhubung perjuangan parti itu.

Dalam kenyataan Dr. Mahfodz kepada sebuah portal berita baru-baru ini, beliau dilaporkan berkata, kalau keputusan PRU 14 nanti menunjukkan gabungan itu menguntungkan Pas, mungkin mereka boleh membentuk kerajaan dengan parti lain termasuk BN.

Ini adalah lanjutan daripada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang membawa maksud sama dengan kenyataan Dr. Mohd Zuhdi, yang menimbulkan persoalan besar di minda rakyat.

Sudah kelihatan semakin hari semakin tidak jelas arah tuju Pas selepas bercerai dengan DAP, ke manakah sebenarnya haluan parti itu yang pernah dianggap sebagai parti pembangkang utama di negara ini.

Antara yang mula menyatakkan kekeliruan dengan pendirian menyimpang Pas itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan, dalam keadaan rakyat Malaysia semakin mengharapkan perubahan kerajaan dan garis pertentangan politik semakin ketara dan tajam antara BN dan Pakatan Harapan (PH) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), strategi Pas yang cuba ‘makan keliling’ itu hanya akan menyebabkan Pas dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

“Saya percaya rakyat dan ahli Pas akan menjarakkan diri dari Pas apabila menyedari parti mereka hanya berkehendakkan undi mereka untuk dijadikan ‘alat tawar menawar’ dengan mana-mana pakatan politik yang menang.

“Saya juga merasakan, baik BN mahupun blok pembangkang PH dan PPBM setelah memperhalusi pengumuman ‘strategi’ dari Pas ini, tidak terlalu naif untuk merelakan diri mereka berada pada posisi lemah untuk bergantung kepada Pas bagi membentuk kerajaan.

“Budaya politik tak tentu hala Pas sudah pasti akan dijadikan panduan kepada kedua-dua blok politik untuk menentukan apakah sikap mereka terhadap Pas dalam menghadapi PRU ke 14,” soal beliau dalam kenyataan kepada media, semalam.

Kata beliau, jelas sekali, pengumuman sedemikan secara tidak langsung menunjukkan Pas telah mengakui, ianya bukan lagi sebuah parti pembangkang yang selama ini menentang penyelewengan kerajaan UMNO/BN.

Malah, ujar Mahfuz, Pas sudah sanggup dan bersedia untuk sama-sama membentuk kerajaan dengan UMNO/BN, walaupun berbeza kenyataan dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa Pas akan menentang UMNO/BN dalam PRU14.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menafikan strategi makan keliling termasuk untuk  membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN selepas PRU14 nanti.

“Saya yakin penerimaan majorati ahli dan penyokong Pas tidak menyenangi dengan pernyataan sikap terbaru Pas ini sebagaimana diumumkan Dr. Mohd Zuhdi dan disokong pula oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat,” katanya.

Kenyataan Dr, Mohd Zuhdi dan Dr. Mahfodz itu jelas menjadikan kenyataan Naib Presidennya, Idris Ahmad, bahawa Pas akan masuk bertanding PRU 14 sebagai pembangkang dan tidak akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN sebagai satu kenyataan terpinggir dan pandangan minoriti dalam parti.

Menurut Mahfuz, beliau tidak pasti adakah Idris berani melawan arus untuk menyanggah kenyataan Dr. Mohd Zuhdi dan Dr. Mahfodz.

Seperkara lagi, jika Pas juga bersedia untuk membentuk kerajaan bersama PH dan PPBM, kenapakah pada masa sama pemimpin Pas berulangkali menyatakan parti itu tidak akan sama sekali sanggup bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP atau mana-mana parti lain yang bersekongkol dengan PAN dan DAP?

Ini juga akan membentuk persepsi yang menunjukkan sikap Pas ‘tak tentu hala’ hingga menghilangkan kewibawaannya sebagai parti Islam.

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada pucuk pimpinan Pas supaya menentukan sikap yang jelas dari sekarang, sama ada hendak bekerjasama dengan UMNO dan BN atau bekerjasama dengan PH dan PPBM atau hanya mengukuhkan kedudukan sebagai ‘kuasa ketiga’ melalui kerjasama dengan Parti Ikatan.

“Budaya politik tak tentu hala dan strategi politik ‘makan keliling’ ini, apatah lagi apabila ianya dihebahkan secara terbuka adalah satu langkah politik yang amat amatur, akan hanya menghakiskan keyakinan rakyat kepada Pas terutama sekali dalam kalangan rakyat yang menentang kepimpinan UMNO/BN. – MalaysiaGazette