Zulhasnan Rafique

Selepas lapan bulan kekosongan, akhirnya jawatan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat diisi.

Kerajaan bersetuju melantik bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Zulhasnan Rafique, dan akan memulakan perkhidmatannya awal Januari 2017.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa mengisi jawatan itu yang dikosongkan Datuk Seri Dr. Awang Adek Husin yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai duta di negara itu pada 7 April lalu.

Zulhasnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi meneruskan kesinambungan hubungan antara negara ini dengan AS di bawah Presiden baharu, Donald Trump.

Difahamkan juga, beliau sudah menerima surat pelantikan bertaraf menteri itu daripada kerajaan dan dijangka mendapat watikah daripada Yang di-Pertuan Agong minggu ini.

Zulhasnan, bekas juruterbang tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilantik mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, sebelum memegang jawatan menteri penuh pada Mac 2008 hingga April 2009.

Beliau mula menceburi politik pada tahun 1995 sebagai ahli jawatankuasa bahagian dan mengalahkan calon PKR, Marina Yusoff pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999. – MalaysiaGazette