Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tiga agensi penguatkuasaan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang berusaha ke arah perkongsian maklumat dan menambah baik penguatkuasaan.

Pada ketika ini, ketiga-tiga agensi itu tidak berkongsi senarai hitam pemandu secara dalam talian, ia bermakna anggota SPAD perlubertandang ke JPJ jika mereka mahu memuat turun maklumat penguatkuasaan yang diperlukan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, walaupun perkongsian maklumat secara masa sebenar telah dirancang sekian lama tetapi masih terdapat pelbagai isu yang perlu diatasi sebelum ia dapat dilaksanakan antara agensi penguatkuasaan.

Beliau menjangkakan antara tiga hingga empat bulan diperlukan sebelum JPJ dapat berkongsi maklumat secara dalam talian dengan SPAD dan PDRM.

“Jika dilaksanakan, PDRM, SPAD dan JPJ akan dapat memeriksa pelbagai maklumat pemandu dan syarikat termasuk jumlah saman syarikat bas,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, perkongsian maklumat itu adalah amat bermanfaat kepada penguatkuasaan kerana JPJ, SPAD dan PDRM pada masa ini mengeluarkan saman masing-masing tanpa mengetahui sama ada pemandu berkenaan menerima saman daripada agensi penguatkuasaan lain.

“Pada masa ini kami tidak dapat mengesan mereka yang mempunyai saman tertunggak dengan agensi lain.

“Penerima saman agensi lain hanya boleh dikesan melalui operasi bersepadu SPAD, PDRM dan JPJ,” katanya.