DOA UNTUK ROHINGYA

KUALA LUMPUR – Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bakal mencatat sejarah dengan menghimpunkan 1,000 pejuang seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik, pemuisi bagi menyatakan rasa prihatin terhadap nasib yang sedang melanda umat Islam bangsa Rohingya yang sedang ditindas di Myanmar.

Atas semangat kebersamaan itu, WHAM dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri hiburan dan pelbagai pihak menganjurkan acara luahan hati melalui puisi, lagu puisi, nasyid dan lagu kemanusiaan, Doa Untukmu Rohingya di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Ahad ini iaitu 1 Januari 2017.

WHAM memilih hari pertama dalam kalendar baru itu untuk menyemarakkan tahun baru dengan menyuntik rasa prihatin terhadap nasib yang sedang menimpa saudara Islam yang dinafikan haknya di bumi Myanmar.

Acara selama sepuluh jam tanpa henti bermula pukul 2 petang dan akan berakhir pada pukul 12 tengah malam itu bakal menampilkan Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Johan Asaari, Zarul Umbrella dan Azharina untuk sama-sama meluahkan rasa prihatin masing-masing.

Pelakon Tasha Shilla, Mia Ahmad, Norzizi Zulkifli, Zaiton Sameon, Aizat Amdan, pengacara Nabil Ahmad, Saiful Nizam, Raja Azmi, To’ki, DJ Lin, Soffi Jikan, Aiman Tino, To’Ki, Raihan, Khir Rahman, Azrel Ismail, Janna Nick, Ani Maiyuni, Azzarima, Nadia Mustafar, Ellie Suriaty, Izzmad Harun, Ernie Zakri, Syed Syamim, Tajul Arif, Anis Al Idrus, kumpulan Sahabat dan beberapa kumpulan buskers lain sudah menyatakan persetujuan.

Turut terlibat pelajar jurusan seni UITM, Aswara serta buskers di bawah seliaan Persatuan Karyawan Malaysia.

Lebih ramai lagi artis yang dijangka bersama-sama menjayakan acara tersebut. Ia juga turut melibatkan pemuisi, buskers, pelajar institusi pengajian tinggi, ahli politik tanpa mengira fahaman, VVIP serta tokoh korporat.

Antara yang sudah mengesahkan penglibatan termasuk Prof Dr. Lim Swee Ting, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, penyair Abdullah Awang, Zainal Rashid Ahmad, Prof. Datuk Rahman Saari, penulis Siti Jasmina Ibrahim, pemuisi Lefternan Dr. Radzi Ahmad, Syukri Abdullah, Presiden Pena Dr. Saleeh Rahamat dan ramai lagi.

“Program bersifat kemasyarakatan ini adalah himpunan rasa yang bergulir dalam diri para seniman tanah air yang turut terkesan setelah melihat apa yang berlaku di Myanmar.

“Dalam kemelut yang belum berakhir itu, umat Islam Rohingya dibunuh dengan kejam, dirogol, dikelar dan dibiarkan kelaparan. Mereka turut berduka dan menangis ke atas nasib yang berlaku kepada saudara seagama.

“Justeru, WHAM mahu menggabungkan suara-suara hati itu untuk diluahkan dengan satu suara iaitu Doa Buatmu Rohingya. Kami akan menghimpunkan 1,000 orang seniman dalam acara ini,” kata Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Jelas beliau lagi, idea-idea yang diluahkan melalui seni khususnya menerusi suara suri teladan sudah tentu menjadi medium hebat dalam menyampaikan kepada masyarakat.

Selain itu katanya, Doa Untukmu Rohingya juga bersifat acara amal dan bertujuan mengumpul dana daripada penajaan pelbagai pihak untuk disalurkan kepada tabung yang telah diwujudkan oleh syarikat media iaitu Tabung Rohingya Utusan dan Tabung Rohingya Media Prima.

WHAM juga memberi peluang kepada sekumpulan pelukis tanah air untuk sama-sama terlibat dengan mengadakan pameran lukisan amal Doa Untukmu Rohingya dengan sebahagian jualan akan diserahkan untuk tabung amal tersebut.

Untuk menggalakkan penyertaan semua pihak termasuk golongan muda, WHAM telah membuka peluang kepada anak muda untuk meluahkan rasa terhadap isu Rohingya melalui puisi, pantun, gurindam dan sebagainya menerusi laman Fanpage facebook WHAM iaitu @wartawanhiburanfanpage. Emelkan ke [email protected] atau mesej inbox Fanpage FB WHAM tersebut.

100 karya terpilih akan menerima hadiah serta bakal dideklamasikan oleh artis dan seniman tanah air pada acara tersebut nanti.

Penyertaan dibuka sehingga 25 Disember lalu dan terbuka kepada semua dengan syarat ia sebuah karya tulen. WHAM mahu memberi ruang kepada anak-anak muda untuk meluahkan apa yang mereka rasakan.

Karya-karya tersebut tidak akan terbiar begitu sahaja sebaliknya WHAM merancang membukukan karya tersebut untuk menjadi arkib seni yang bernilai dan terus tersimpan ke masa hadapan.

“WHAM mahu menggerakkan kempen ini sekali gus menyokong ke arah resolusi kepada kemelut kemanusiaan yang dialami masyarakat Rohingya yang dinafikan kewujudannya di Myanmar,” tambah Tengku Khalidah lagi. — MalaysiaGazette