CEO Kumpulan Pengurusan Aset dan Pelaburan CIMB, Effendy Shahul Hamid (kiri) dan Pengerusi Shanghai Guozhijie Investment Development Co., Ltd. Gao Tianguo berjabat tangan selepas selepas memeterai perjanjian pemindahan saham.

Kuala Lumpur- CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB Group) mengumumkan penjualan 18.21 peratus kepentingannya dalam Bank of Yingkou Co. Ltd. kepada Shanghai Guozhijie Invetsment Development Co. Ltd. pada harga RMB1.507 bilion atau kira-kira RM972 juta.

Nilai tersebut kira-kira satu kali ganda nilai nisbah harga kepada tempahan BYK.

Pada masa yang sama CIMB Group turut memeterai Perjanjian Kerjasama Jangka Panjang dengan BYK dengan kedua-dua entiti akan terus bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti pertukaran kakitangan, pembangunan produk serta latihan dan perkongsian kepakaran pasaran.

Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, BYK merupakan salah satu daripada pelaburan terbaik CIMB Group.

“Sejak kami memasuki BYK pada 2009, pelaburan ini telah menghasilkan pulangan sebanyak 17.4 peratus dan menggandakan wang sebanyak 3.3 kali.

“Bagaimanapun, keperluan modal kepada pelaburan minoriti dalam bank-bank lain seperti ini terus meningkat, terlalu banyak untuk masa ini.

“Pulangan ambang telah menilai pelaburan ini sebagai terlalu tinggi.

“Selain itu, pelupusan ini juga adalah sejajar dengan sasaran operasi dan modal T18 CIMB serta perancangan kami untuk memberi fokus kepada perniagaan utama dalam pasaran utama kami.

“Namun begitu, saya tidak sabar untuk meneruskan kerjasama strategik dengan BYK di dalam mendalami pemahaman kami terhadap perbankan pelanggan dan komersial di pasaran di China supaya kami dapat terus membina kepakaran China dalam perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sejak menyertai BYK sehingga akhir September 2016, CIMB Group telah berkongsi hampir RM651 juta keuntungan BYK.

Bagi sembilan pertama 2016, CIMB berkongsi keuntungan sebanyak RM93 juta.

Kesemua transaksi tunai itu tertakluk kepada kelulusan badan regulatori termasuk Suruhanjaya Regulatori Perbankan Cina dan dijangka selesai pada 2017. – MalaysiaGazette