KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) kecewa dengan kenyataan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mempersoalkan tindakan memperjuangkan hak pemain dengan menyatakan hal persatuan bukan urusan mereka.

Kekecewaan itu diungkapkan selepas Annuar, menerusi laman sosial Facebook kelmarin mempersoalkan apakah yang dilakukan ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, untuk meningkatkan profesionalisme pemain.

Sebelum itu, Izham mendedahkan masih ada 23 kes tunggakan gaji pemain belum diselesaikan, membabitkan lapan pasukan.

Presiden PFAM, Hairuddin Omar, dalam satu kenyataan, berkata secara profesional, PFAM tidak pernah mencampuri urusan pengurusan persatuan kerana hormat dengan ‘kedaulatan’ setiap persatuan.

“PFAM hanya akan terbabit apabila ada menerima laporan daripada pemain iaitu ahli PFAM yang meminta bantuan menyelesaikan permasalahan mereka.

“Segala usaha telah dilakukan namun masih menemui jalan buntu dan persatuan seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah gaji.

“Perkara ini amat mengecewakan kami lantas ia tidak mencerminkan sikap profesional persatuan.

“Kami lihat pasukan bola sepak terus berhutang dengan pemain, masih ligat merekrut pemain baharu bagi mempersiapkan diri untuk saingan musim depan,” katanya.

Hairuddin berkata, apabila PFAM meminta penjelasan, jawapan yang sering diberikan oleh pasukan ialah tidak mempunyai dana, menunggu wang penaja dan lain-lain.

Tambahnya, sejak beroperasi, PFAM melakukan pelbagai usaha meningkatkan tahap profesionalisme ahli dan mentaliti profesionalisme pemain kini sudah semakin baik.

Katanya, sekalipun diakui masih ada pemain yang bermasalah namun ia adalah suatu proses berterusan dan PFAM akan terus komited melaksanakan tugas mereka.

“Profesionalisme dalam pengurusan pasukan dilihat tidak selari dengan tempoh yang dikatakan ‘berpengalaman’ dan ‘matang’ di mana persatuan masih berada di takuk lama. Isu yang berlaku adalah isu yang berulang.

“Malah ketika kita bergerak ke arah penswastaan liga, pasukan masih lagi belum bersedia untuk keluar dari ‘zon selesa’ mereka. Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah pemain,” katanya. – BERNAMA