KUALA LUMPUR – Ringgit mengharungi laluan sukar dan menyeksakan sepanjang 2016, tempias daripada kesuraman ekonomi global serta harga minyak yang tidak menentu menambah tekanan dalam pasaran kewangan antarabangsa dan persekitaran pertukaran asing spekulatif yang berterusan.

Mata wang Malaysia terjejas teruk tahun ini, turun sebanyak 4.52 peratus semasa mengakhiri tahun pada 4.4845/4875 berbanding dolar AS.

Tahun lepas ringgit berakhir pada 4.2900/2970.

Ringgit memulakan tahun 2016 pada 4.3160/3250, meneruskan momentum rendah 2015 setelah terdapat kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia, kejatuhan harga minyak mentah, jangkaan normalisasi kadar faedah di Amerika Syarikat serta kebimbangan terhadap ekonomi China.

Mata wang tempatan bergelut untuk mencari keseimbangan pada suku pertama, setelah keyakinan yang tidak menentu dalam ekonomi global dan diselubungi kemungkinan kenaikan kadar faedah AS.

Akibatnya, ringgit terpengaruh kepada mod menurun, melebihi paras 4.00.

Lebihan bekalan minyak terus memberi kesan dalam minat terhadap mata wang tempatan setelah kejatuhan harga minyak akan menjejaskan mata wang negara pengeksport komoditi, dan Malaysia tidak terkecuali.

Harga minyak yang mencapai paras tertinggi pada US$115 setong pada Jun 2014, menjunam ke paras terendah dalam 13 tahun pada US$26.05 setong pada 11 Feb tahun ini.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan dan pakar juga amat yakin ringgit terkurang nilai dengan ketara dan tidak mencerminkan ekonomi sebenar memandangkan negara ini mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada dijangka pada dua suku tahun yang pertama, masing-masing pada 4.2 peratus dan 4.0 peratus.

Semasa menghampiri suku kedua, kemunculan faktor-faktor positif seperti pasaran ekuiti dan bon yang bertambah baik serta aliran masuk dana asing yang kukuh telah menyediakan rangsangan kepada ringgit, sehingga mengatasi mata wang serantau yang lain.

Mata wang tempatan melonjak ke paras 3.9960/9030 berbanding dolar AS pada 29 Mac dan kekal dalam lingkungan itu selama beberapa minggu.

April merupakan bulan terbaik bagi mata wang tempatan berikutan pemulihan harga minyak mentah yang melonjak lebih lima peratus kepada hampir US$50 setong, kenaikan bulanan terbaik dalam tempoh tujuh tahun.

Ini mendorong ringgit naik ke paras tinggi dalam sembilan bulan dan tertinggi bagi 2016 daripada 3.8660/8720 berbanding dolar AS, pada 20 April.

Kenaikan berkenaan, bagaimanapun, kemudiannya diseret turun oleh sentimen berhati-hati yang timbul daripada referendum mengenai Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU), memacu semula ringgit melebihi paras 4.00 pada awal Mei.

Hasil Brexit, yang telah menimbulkan prospek penurunan risiko terutamanya bagi EU, sedikit sebanyak memberikan kenaikan yang sedikit kepada ringgit berbanding pound.

Pada permulaan separuh kedua 2016, ringgit stabil pada 3.9960/9010 berbanding dolar AS setelah pasaran Asia secara relatif kekal tenang selepas Brexit.

Pakar-pakar pasaran merasakan bahawa Brexit yang digabungkan dengan ‘campuran toksik’ peristiwa yang tidak henti-henti, menghalang semua usaha yang diambil oleh Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan kadar faedah tahun ini, dengan dolar AS berpotensi terdedah kepada kerugian pada masa hadapan.

Berikutan peningkatan risiko daripada Brexit, Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetarinya pada 13 Julai, tidak disangka-sangka telah mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus selepas mengekalkannya pada 3.25 peratus selama 11 mesyuarat berturut-turut sebelum ini.

Berikutan penurunan OPR, KLIBOR tiga bulan susut 25 mata asas daripada 3.65 peratus kepada 3.40 peratus.

Ringgit menyusut pada pertengahan Julai, terjejas oleh minat risiko yang lembap kerana harga minyak mentah dan komoditi global yang tidak konsisten serta isu-isu domestik.

Momentum menyusut selepas itu terutamanya terjejas oleh dolar yang lebih kukuh disebabkan oleh permintaan domestik AS yang teguh dan aliran masuk modal ke AS dari Jepun, Eropah dan daripada ekonomi baru muncul lain.

Pada awal November, ringgit terus menyusut berbanding dolar AS setelah dolar AS semakin mantap kerana ‘Trumponomics’ dan tenaga positif dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Donald Trump dalam pasaran kewangan.

Selain ringgit, semua mata wang lain di rantau ini turut terjejas daripada pengukuhan dolar AS berikutan kemenangan Trump.

Mata wang Jepun, yen, merosot ke tahap paling lemah dalam tempoh lima bulan, dolar Australia susut dua peratus, won Korea Selatan turun 1.6 peratus, Peso Filipina merosot 2.7 peratus, dolar Singapura berkurangan 2.5 peratus manakala baht Thailand menyusut 1.5 peratus.

Rupiah Indonesia menjunam lebih daripada lima peratus, menyebabkan bank pusat negara itu campur tangan, tetapi menghairankan, ringgit hanya susut satu peratus.

Selepas itu, ringgit menguncup lebih lima peratus setelah ekonomi Asia yang pesat membangun berdepan aliran keluar dana bernilai US$11 bilion.

Tekanan jualan berterusan setelah mata wang terjerumus ke paras terendah dalam 12 tahun di pasaran luar pesisir, yang mendorong BNM campur tangan dalam dagangan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) untuk membendung aktiviti spekulasi.

Bank pusat meminta pasaran agar tidak mengendahkan NDF, tetapi ironinya ia telah menyemarakkan spekulasi dan menjejaskan sentimen ke arah aset negara dengan hasil nota negara 10 tahun melonjak ke paras tertinggi dalam 15 bulan.

Walaupun aliran keluar dana dan ringgit yang tertekan, Gabenor Datuk Seri Muhammad Ibrahim menegaskan bahawa bank pusat tidak akan menambat atau memperkenalkan kawalan modal untuk menyekat kejatuhan ringgit.

Beliau menegaskan bahawa paras ringgit mesti disokong dan ditentukan oleh transaksi pendasar seperti yang ditentu oleh bank-bank atas dasar harian dan mata wang tidak boleh ditentukan oleh kedudukan spekulatif.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani percaya tambatan riggit, antara kawalan modal yang dilaksanakan semasa krisis kewangan 1997/98, tidak praktikal sekarang dalam ekonomi global terbuka kerana negara ini akan kehilangan pertumbuhan ekonominya.

Pada 2 Disember, BNM mengumumkan beberapa langkah baru untuk menggalakkan lebih banyak perdagangan domestik ringgit, satu langkah untuk “melindungi kepentingan sektor sebenar dan pelabur tulen”.

Langkah-langkah ini telah membawa ringgit ke tahap yang lebih stabil dengan pasaran NDF ringgit dalam dan luar pesisir dilihat tertumpu.

Tanda-tanda awal muncul pada petang 2 Dis apabila ringgit pada 4.45 berbanding dolar AS semasa ditutup pada 2 Dis di pasaran domestik dan berakhir pada 4.44 di pasaran luar pesisir.

Ini menunjukkan bank-bank luar pesisir telah mengurangkan pegangan lindung nilai NDF mereka dengan perlahan-lahan melepaskan pegangan ringgit untuk mengelakkan kerugian.

Secara ringkas, ringgit, bersama-sama dengan kebanyakan mata wang pasaran baru muncul, mengalami pelarasan dan turun naik yang ketara pada 2016 disebabkan ketidaktentuan berterusan dalam persekitaran ekonomi dan dasar global serta perkembangan geopolitik.

Persekitaran yang suram itu telah memaksa banyak bank pusat untuk menurunkan kadar faedah tahun ini, termasuk di Malaysia, Australia, Korea Selatan, Eropah, Jepun, India, Indonesia, Sweden dan Switzerland, bagi menyokong ekosistem kewangan domestik mereka.

Walaupun pasaran tukaran aisng telah mengambil kira kemungkinan perubahan dalam kadar faedah AS, sentimen kekal lemah di seluruh dunia.

Selepas bulan-bulan dalam kegelisahan, pada 14 Dis, Rizab Persekutuan AS akhirnya, menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 25 mata asas, kali kedua sejak mengurangkannya kepada hampir sifar pada 2008.

Ini menjejaskan ringgit ke tahap paling rendah dalam hampir 19 tahun berbanding dolar AS.

Pada 20 Disember, ringgit mencecah 4.4790 pada satu ketika, tahap paling lemah sejak krisis kewangan Asia, dan semakin merudum dan berakhir pada 4.4780 berbanding dolar AS.

Tekanan jualan berterusan ke arah penghujung Disember menyebabkan ringgit mengakhiri 2016 pada paras terendahnya bagi tahun ini pada 4.4845/4875 berbanding dolar AS pada 30 Dis, berbanding 4.2900/2970 pada 31 Dis tahun lepas.

Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran ForexTime (FXTM) Jameel Ahmad berkata ringgit boleh kembali mengukuh berbanding dolar AS secara beransur-ansur apabila momentum mata wang Amerika itu terhenti.

Beliau berkata sensitiviti ringgit terhadap dolar adalah tinggi kerana ekonomi Malaysia telah mendapat manfaat daripada aliran masuk modal apabila Rizab Persekutuan AS memulakan kitaran dasar kuantitatif bertahun yang lalu.

“Agak sukar untuk mengunjur sebarang keadaan yang boleh membawa kepada ringgit bergerak kembali di bawah 4.00 berbanding dolar kecuali pelabur melepaskan pegangan dolar secara besar-besaran.

“Pemulihan dalam pasaran minyak akan membantu, tetapi ini tidak mungkin berlaku pada peringkat ini dan pihak yang lebih suka ringgit kembali kukuh perlu berharap satu pusingan utama kegiatan pengambilan untung dalam dolar AS,” katanya.

Berbanding mata wang lain, ringgit merundum berbanding dolar Singapura kepada 3.1043/1085 daripada 3.0367/0423 pada 31 Disember tahun lepas, jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8375/8411 berbanding 3.5637/5698, dan susut berbanding euro kepada 4.7482/7523 daripada 4.6851/6940.

Ringgit, walaubagaimanapun, melonjak berbanding pound kepada 5.5213/5259 bagi perbandingan tahun ke tahun daripada 6.3604/3716 sebelumnya. — BERNAMA