Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU – Terengganu akan membuka semula dua laluan penerbangan bagi destinasi Kuala Terengganu-Singapura-Terengganu dan Kuala Terengganu-Pulau Pinang-Kuala Terengganu bagi meningkatkan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 (TMT 2017).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata rundingan dengan syarikat penerbangan AirAsia berhubung pembukaan semula laluan berkenaan kini di peringkat akhir.

“Pembukaan semula laluan adalah sebagai usaha kita untuk mencapai sasaran pelancong seramai 5.5 juta sempena TMT 2017 di samping promosi yang telah kita jalankan secara agresif sebelum ini di kedua-dua destinasi berkenaan (Singapura dan Pulau Pinang).

“Selain AirAsia, kita juga turut mempelawa beberapa syarikat penerbangan lain dan mencari alternatif eperti menyewa penerbangan khas bagi meningkatkan kedatangan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan hari pertama TMT 2017 di Lapangan Terbang Sulan Mahmud di sini hari ini.

Sultan Terngganu Sutan Mizan Zainal Abidin semalam berkenan berangkat merasmikan pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 sempena TMT 2017 di Duyong Marina Resort di sini.

Dalam pada itu Ahmad Razif berkata sempena TMT 2017, kerajaan negeri selaku penganjur utama Visit Beautiful Terengganu turut mengeluarkan kalendar yang mengandungi pelbagai acara menarik sepanjang tahun sebagai panduan kepada pengunjung dan pelancong.

“Para pelancongan boleh memilih pelbagai acara dalam kalendar berkenaan menerusi pakej yang telah ditempah oleh mereka.

“Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka merancang untuk datang ke negeri ini mengikut tarikh yang sesuai dengan kegiatan yang terdapat dalam kalendar berkenaan,” katanya.

— BERNAMA