UNITED KINGDOM – Penyerang Liverpool,  Sadio Mane bersikap jujur selepas pasukannya diikat 2-2 ketika berdepan Sunderland dalam aksi ke-20 EPL, di Stadium of Light, United Kingdom malam tadi.

Pemain kelahiran Senegal yang beragama Islam itu pada mulanya muncul sebagai hero namun dia mengecewakan harapan penyokong Liverpool ekoran tindakannya memberi penalti kedua kepada pasukan tuan rumah.

Mane yang juga anak seorang imam di sebuah desa kecil di Bambali, selatan Senegal bagaimanapun mengaku bola terkena tangannya pada perlawanan yang sama.

Sunderland ketika itu ketinggalan 1-2  sehingga Mane tertampan bola yang berada di kawasan kotak penalti ketika dia membuat benteng menahan sepakan bebas lawan.

Namun, tampanan bola pada tangannya dikesan pengadil perlawanan sekali gus menghadiahkan sepakan penalti untuk gol penyamaan Sunderland di minit ke-84.

“Saya rasa bola itu terkena tangan. Pemain Sunderland mengasak, saya hilang kawalan dan bola terkena tangan,” katanya jujur seperti dilaporkan Daily Express.

Jaringan penyamaan Jermain Defoe itu meranap harapan Liverpool untuk mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Mane sebelum itu menjaringkan gol kedua pasukannya untuk kedudukan lebih selesa selepas Sunderland menyamakan kedudukan 1-1 juga melalui sepakan penalti sebelumnya.

“Ya, saya rasa begitulah (layak penalti). Kami perlu hadapi perlawanan seterusnya dan menerima satu mata pada perlawanan ini,” katanya.

Keputusan itu mengekalkan skuad bimbingan Jurgen Klopp di tangga kedua EPL dengan mengutip 44 mata melalui 20 perlawanan musim ini.-MalaysiaGazette