KLANG – Kerajaan Selangor mengarahkan pegawai Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang terlibat dengan insiden bunga api meletup di Kompleks Sukan Pandamaran dekat sini bercuti bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, MPK telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian yang mencederakan 10 orang pada malam sambutan Tahun Baru 1 Januari lalu.

Katanya, pegawai berkenaan diarah bercuti selama 28 hari mulai semalam hingga 31 Januari ini sementara menunggu laporan penuh siasatan selesai.

“Kita memandang serius kejadian itu dan mana-mana pihak yang cuai serta menyalahgunakan kuasa akan dikenakan tindakan disiplin atau undang-undang.

“MPK juga akan bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada tengah malam Ahad lalu, keseronokan ribuan orang ramai hendak menyaksikan bunga api bertukar tragedi apabila pertunjukkan itu tidak berjalan dengan baik.

Akibat daripada percikan bunga api itu, seramai 10 mangsa mengalami kecederaan melecur dan luka pada badan, muka dan tangan.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah ledakan awal berikutan bunga api itu meletup sebelum ia ditembakkan lebih tinggi ke udara lalu terkena khalayak yang berhampiran.

Menurut Ean Yong, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada Jawatankuasa Penyiasatan untuk melengkapkan laporan itu.

Kata beliau, jawatankuasa itu dianggotai dua Pengarah Jabatan, seorang Timbalan Pengarah dan Pegawai Tadbir. – MalaysiaGazette