Sektor pembinaan dijangka mengalami penurunan tahun ini. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Sektor pembinaan di Malaysia dijangka menyaksikan penurunan untuk normalisasi tahun ini yang mana kontrak domestik dijangka sebanyak RM25 bilion selepas mencatatkan rekod tertinggi pada 2016.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Hong Leong Islamic Bhd. berkata, bagi tahun 2016, penganugerahan kontrak domestik meningkat kepada RM56.4 bilion dengan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 158 peratus tahun ke tahun.

Ini mengatasi rekod tertinggi pada 2012 iaitu RM28 bilion.

“Penyumbang utama bagi 2016 adalah projek Line 2 MRT yang berharga RM224.3 bilion dengan kerja-kerja terowong sebanyak RM15.5 bilion menjadi kontrak tunggal terbesar yang telah dianugerahkan.

Lebuhraya Pan-Borneo pula mewakili 18 peratus dengan RM10 bilion dan projek-projek lebuhraya lain bernilai RM7.6 bilion (13 peratus),” katanya.

Berikutan banyak kontrak telah dimenangi pada 2016, kebanyakan kontraktor mempunyai buku tempahan yang tertinggi dalam sejarah.

Ini pastinya dapat diterjemahkan kepada perolehan yang kukuh tahun ini.

HLIB bagaimanapun mengekalkan penarafan “overweight” kepada sektor pembinaan.

“Kami menjangkakan penurunan normalisasi dalam penganugerahan kerja-kerja pada 2017,” katanya lagi.- MalaysiaGazette