KUALA LUMPUR – Suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan telah menyebabkan bajet korporat untuk menganjur persembahan bunga api dikurangkan.

Kelemahan ringgit berbanding dolar turut menyebabkan kos mengimport bunga api berkualiti dari Sepanyol, China dan Jepun melonjak.

Lin Guang Quan dari syarikat persembahan bunga api memberitahu China Press, tempahan telah mengalami pengurangan sebanyak 30 peratus.

Katanya, terdapat lebih 100 jenis persembahan bunga api dengan dibahagikan kepada jenis besar-besaran, sederhana dan kecil-kecilan selain ditentukan berdasarkan formasi dan rekaan.

Menurutnya, mutu persembahan api di Malaysia bagaimanapun masih jauh ketinggalan berbanding yang terdapat di sesetengah tempat seperti di Sydney, Australia.

Katanya, walaupun bunga api diimport dari luar negara, wakil syarikat akan melakukan pemeriksaan teliti di negara berkenaan untuk memastikan kualitinya terjaga.

Jelasnya, rekaan persembahan bunga api juga perlu mengambil kira keadaan lokasi termasuk bangunan-bangunan yang ada.

“Kelulusan juga perlu diperoleh daripada ibu pejabat polis negeri, ibu pejabat polis daerah, Kementerian Dalam Negeri selain memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Persembahan bunga api turut dilindungi insurans dengan nilai perlindungan sekurang-kurangnya RM300,000.

Berkenaan kecederaan yang berlaku berikutan letupan bunga api dalam persembahan sempena Tahun Baharu di Klang, Selangor, Guang Qian berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada terlalu dekat dengan lokasi tembakan bunga api.

“Orang ramai harus mempunyai jarak sekurang-kurangnya 200 meter, ia juga jarak paling baik untuk menikmati keindahan bunga api,” katanya. — MalaysiaGazette