Home Ekonomi Rizab BNM RM424.2b

Rizab BNM RM424.2b

KUALA LUMPUR – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$94.6 bilion (bersamaan dengan RM424.2 bilion) pada 30 Disember 2016 berbanding dengan AS$95.3 bilion (bersamaan dengan RM409.1 bilion) pada akhir tahun 2015.

Bank Negara Malaysia berkata, paras rizab ini telah mengambil kira pelarasan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing.

Paras rizab terus disokong oleh lebihan akaun semasa dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

Walau bagaimanapun, ini diimbangi oleh pelaburan langsung di luar negeri oleh syarikat Malaysia dan aliran keluar semula sebahagian pelaburan portfolio bukan pemastautin.

Rizab antarabangsa pada 30 Disember 2016 kekal lebih daripada mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa.
Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh berbanding dengan 8.2 bulan pada 15 Disember 2016.

Paras rizab ini juga mencukupi untuk memenuhi obligasi luaran dengan perlindungan rizab kepada hutang luar negeri jangka pendek[1] sebanyak 1.3 kali.

Hutang luar negeri jangka pendek yang didefinisikan semula, yang termasuk peminjaman luar pesisir jangka pendek, pemegangan sekuriti hutang jangka pendek dalam ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin dengan sistem perbankan dan hutang jangka pendek lain. – MalaysiaGazette