Iskandar menunjukkan tempat letak kereta yang terhad di kawasan Hospital Ampang

AMPANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad mencadangkan Hospital Ampang menyediakan bas khas bagi laluan stesen LRT ke hospital berkenaan sebagai langkah mengatasi masalah tempat letak kereta yang tidak mencukupi.

Beliau berkata, bayaran boleh dikenakan antara 50 sen hingga RM1 kepada pesakit atau pengunjung yang menggunakan pengangkutan itu, berbanding mereka meletakkan kereta di tepi jalan yang berdepan dengan risiko kemalangan dan saman polis.

Katanya, cadangan laluan bas itu melibatkan perjalanan ulang alik dari Hospital Ampang ke Stesen LRT Cahaya, Cempaka, Pandan Indah dan Pandan Jaya.

“Bas ini perlu kerana terdapat tempat letak yang terhad di hospital itu. Pesakit dan pengunjung terpaksa meletakkan kereta mereka di tepi jalan dan menghadapi risiko disaman oleh polis.

“Selain itu, kereta berkenaan juga mengganggu lalu lintas dan boleh menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri berkata, kekerapan bas pula mestilah 30 minit sekali pada waktu puncak dan satu jam sekali pada waktu biasa.

Ujar beliau, penyediaan bas khas adalah penyelesaian paling praktikal bagi masalah tempat letak kereta di Hospital Ampang.

“Tidak ada tanah kerajaan yang kosong untuk dijadikan tempat letak kereta di kawasan itu. Tambahan pula harga tanah agak tinggi di Ampang dan tidak berbaloi untuk dibangunkan tempat letak kereta sahaja.

“Kecuali bangunan tempat letak kereta sedia ada hospital itu dibangunkan semula dengan tambahan bilangan tingkat.

“Buat masa ini polis akan menyaman kereta yang diletakkan di tepi jalan, tetapi tanpa ada tempat letak kereta yang lain, ramai lebih rela berhadapan dengan risiko disaman,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, mengikut laporan media, antara 2,000 hingga 3,000 pesakit dan pengunjung datang ke Hospital Ampang setiap hari. – MalaysiaGazette