Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman melawat mangsa banjir

KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan peningkatan jumlah penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini.

Mengikut catatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri itu, jumlah penduduk dipindahkan sehingga jam 10 pagi ini seramai 1,470 orang.

Mereka kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Setiu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Kuala Terengganu yang dijadikan pusat pemindahan mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 461 orang melibatkan 112 keluarga, diikuti SK Bukit Guntung 422 orang (96 keluarga), SK Kompleks Gong Badak 186 orang (40 keluarga), SK Gemuroh 126 orang (38 keluarga) dan Masjid Pulau Redang empat orang dari satu keluarga.

Di Marang, seramai 39 mangsa banjir dari 13 keluarga ditempatkan di SK Pasir Putih, manakala Dungun pula, seramai 176 penduduk dari 53 keluarga dipindahkan sementara ke SK Durian Mentangau dan 12 orang dari empat keluarga ditempatkan di Dewan Sivik Paka.

Sebanyak lima keluarga melibatkan 27 penduduk di Setiu pula kini berada di Surau Kampung Nyatoh.

MKN Terengganu menjangkakan mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu terus bertambah berikutan limpahan air sungai dari hulu ke laut sedang berlaku ketika ini.

Banjir yang melanda negeri itu sejak Sabtu lalu, menyebabkan 65 sekolah ditutup kerana laluan ke sekolah berkenaan ditenggelami air.

Sementara itu, banjir di Kelantan semakin baik apabila sudah tiga hari tidak hujan.

Enam daripada lapan tempat menyukat banjir di negeri itu menunjukkan air kembali ke paras normal, kecuali Jambatan Guillemard, Tanah Merah masih bawah paras amaran iaitu 12.66 meter dan Sungai Golok di Rantau Panjang mengatasi aras bahaya, 9.39 meter.

Jumlah mangsa banjir pula berkurangan kepada 11,736 hari ini, berbanding 12,771 orang semalam.

Ketika ini hanya 23 pusat pemindahan masih beroperasi, setelah tiga ditutup malam tadi kerana mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. – MalaysiaGazette