Ramesh Rao

Bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo mungkin akan diekstradisi ke negara ini tidak lama lagi bagi membantu pihak berkuasa menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB.

Presiden Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, siasatan terhadap Justo itu akan akan memperkukuhkan lagi bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam kes 1MDB.

Sebelum itu, menurut Ramesh,  Sarawak Report dikatakan telah mengubahsuai laporan berkaitan 1MDB selepas dokumen rahsia dicuri oleh Justo bagi mengugut majikannya.

“Jadi saya mahu semua parti pakatan pembangkang memohon maaf kepada Perdana Menteri dan keluarga berikutan dakwaan dan tuduhan mereka yang tidak berasas kepada beliau.

Menurutnya, dalam isu syarikat pelaburan strategik negara itu sudah terbukti dakwaan pembangkang tidak ada bukti kukuh melibatkan Najib.

“Seluruh ahli, PKR, DAP, PAN dan PPBM perlu mohon maaf daripada Najib dan keluarga kerana menuduh tanpa bukti dalam isu 1MDB,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lagi pun, beliau berkata kes berkenaan turut disiasat oleh pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sudah sudah disahkan Najib tidak terlibat dalam sebarang unsur jenayah.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi PAC iaitu Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang juga pemimpin DAP kepada media selepas pihak PAC membentangkan laporan akhir mereka dalam siasatan kes itu.

“Ahli Parlimen DAP Kepong mengesahkan tiada bukti penyelewengan dalam 1MDB dan Najib tidak bersalah,” katanya.

Ramesh berkata tindakan Pakatan Harapan menggunakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk mencipta kes melalui satu tindakan saman sivil berkaitan dana 1MDB namun ia gagal kerana DOJ tidak pernah menamakan Najib dalam siasata itu.

Mereka cuba memanipulasi keadaan dengan menyatakan bahawa Malaysian Official 1 di dalam saman itu ialah Najib yang merupakan dalang dalam saman itu.

“Bagaimanapun setakat ini, tidak ada bukti dan DOJ tidak pernah menamakan nama Perdana Menteri terlibat sebagai defendan disiasat dalam kes itu.

“Kita juga ada maklumat bahawa pihak DOJ sudah menggugurkan kes ke atas 1MDB seperti yang diumumkan mereka sebelum ini,” katanya.

Oleh itu, Pakatan Harapan mesti memohon maaf daripada Najib kerana sudah mengaibkan beliau dan keluarga Perdana Menteri dengan membuat dakwaan tidak benar serta tiada asas, katanya.-MalaysiaGazette