Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dan Presiden DAP, Lim Kit Siang, sewaktu mendengar ucapan dasar presiden pada Konvensyen Parti Amanah Negara 2016 di SACC Mall, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 DISEMBER 2016.

SHAH ALAM- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap dengan ‘fatwanya’ mendakwa ibadat haji yang dilakukan menggunakan wang sumbangan 1MDB tidak mabrur.

Walaupun dikecam mufti dan ahli agama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tetap dengan pendiriannya sambil mendakwa ia datang daripada wang haram.

Malah Mahathir mendakwa mufti dan dan ahli agama mempertahankan 1MDB kerana mereka bekerja dengan kerajaan.

“Minta maaf? Yang kata saya salah itu semua dibayar, dia terpaksa ampu, bodek. Jika tunai haji dengan duit curi, kita tahu makanan haram you makan juga, tidak tahu tidak apa.

“Tapi kamu tahu, mana dapat haji mabrur, tak dapat langsung. Bila jadi mufti kena pujila kerajaan,” ujarnya pada sidang media selepas melancarkan lagu dan laman web rasmi PPBM hari ini.

Dalam masa yang sama, Mahathir menafikan pihaknya ada perbincangan mengenai siapa layak menjadi Perdana Menteri kerana apa yang penting mahu memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

Beliau juga menafikan dirinya ada pakatan sulit dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung pemilihan PM dalam kalangan pembangkang seperti yang ditular di media sosial.-MalaysiaGazette

 

 

Tinggalkan Jawapan