Home Ekonomi Bursa tempatan dijangka meningkat

Bursa tempatan dijangka meningkat

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran meningkat dan menguji paras 1,680 mata minggu depan, disokong oleh aktiviti belian semasa harga rendah dan jualan asing yang lemah, kata peniaga.

Naib Presiden Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata: “berdasarkan jumlah dagangan di pasaran tempatan yang memberangsangkan sejak tiga hari lepas, kita boleh menyaksikan para pelabur kini kembali semula ke pasaran tempatan”.

Jumlah dagangan, yang mencecah 2.5 bilion saham pada Khamis, menunjukkan pasaran mengalami aktiviti belian semasa harga rendah minggu ini dan akan berlanjutan sehingga minggu berikutnya, katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Ketua Penyelidikan Runcit bank berkenaan berkata, di samping itu, pemulihan harga komoditi, khususnya harga minyak dan gas, serta keyakinan terhadap langkah pengurangan cukai presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih Donald Trump, selepas memulakan tugasnya secara rasmi pada 20 Januari 2017, juga dijangka memberi rangsangan kepada pasaran saham dunia.

“Selain itu, jangkaan Purata Perindustrian Dow Jones, yang mengukur prestasi hanya 30 syarikat AS, melepasi 20,000 mata akan menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran.

“Sementara itu, di peringkat serantau, penetapan dasar monetari Bank of Japan dan Bank of China yang sesuai juga akan memberi sokongan kepada bursa tempatan,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga minyak mentah yang meningkat dan momentum belian dalam saham wajaran tinggi menyaksikan pemulihan harga saham.

Bursa tempatan ditutup pada Isnin sempena cuti ganti Tahun Baharu yang jatuh pada Ahad. Berdasarkan mingguan, indeks utama FBM KLCI itu meningkat 33.76 mata kepada 1,675.49 daripada 1,641.73 pada 30 Disember 2016.

Indeks FBM Emas meningkat 232.35 mata kepada 11,698.89, Indeks FBMT 100 naik 218.69 mata kepada 11,407.78, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 278.42 mata kepada 12,292.84, FBM Ace menokok 184.82 mata kepada 4,885.53 dan FBM 70 bertambah 211.22 mata kepada 13,246.33.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 257.44 mata kepada 14,640.49, Indeks Perusahaan naik 71.9 mata kepada 3,194.39 dan Indeks Perladangan menokok 142.14 mata kepada 7,890.85.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 8.13 bilion unit bernilai RM5.52 bilion daripada 5.72 bilion saham bernilai RM5.64 bilion yang dicatat Jumaat lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 15.96 bilion bernilai RM6.22 biion daripada 4.37 bilion saham bernilai RM5.44 bilion, yang direkodkan sebelum ini.

Waran mencatat jumlah dagangan sebanyak 846.86 juta unit bernilai RM139.08 juta berbanding 590.97 juta unit bernilai RM94.46 juta pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran ACE mencatat 1.3 bilion saham bernilai RM158.31 juta berbanding 757.13 juta saham bernilai RM97.77 juta yang diniagakan pada 30 Dis, 2016. – MalaysiaGazette