BMW akan mengeluarkan model 3 siri bagi pasaran Amerika Utara di Mexico.

NEW YORK – BMW berkata, syarikat itu benar-benar komited untuk membina sebuah kilang baru di Mexico walaupun terdapat ancaman kereta import oleh Donald Trump.

Syarikat automotif itu membelanjakan sejumlah AS$1 bilion bagi membina sebuah kilang di Mexico meskipun ada syarikat lain telah menarik diri dan kembali melabur di Amerika Syarikat.

Beberapa syarikat automotif telah membatalkan pelaburan di Mexico selepas Trump mengancam untuk mengenakan cukai sempadan bagi pasaran Amerika Syarikat.

Semalam, Fiat Chrysler Automobiles (FCA) mengumumkan pembinaan kilang bernilai AS$1 bilion (£ 816 juta ) untuk menghasilkan tiga model Jeep di Amerika Syarikat.

FCA juga akan memindahkan pengeluaran trak pikap RAM dari Mexico ke Amerika Syarikat.

Minggu lalu, Trump mengkritik General Motors kerana membina kilang kereta di Mexico untuk pasaran Amerika Syarikat.

Ancaman sama juga dilakukan kepada Toyota jika syarikat itu meneruskan pembinaan kilang di Mexico.

Pengarah Jualan dan Pemasaran BMW, Ian Robertson berkata, firma automotif itu sudah komited dengan pembinaan kilang di San Luis Potosi bagi model 3 siri bagi jualan Amerika Utara.

Beliau menambah, BMW telah melabur sebanyak AS$1 bilion bagi kilang di Carolina Selatan dan memaklumkan BMW adalah kereta eksport terbesar dari segi nilai daripada Amerika Syarikat.

“Saya tidak fikir ada sebarang perbincangan yang BMW tidak ada tempat di Amerika Syarikat. Ya, kami sedang membina sebuah kilang di Mexico. Kami membina sebuah kilang di Brazil tahun lalu. Ya kami membina kilang di bahagian dunia yang lain kerana keupayaan kami meningkat. Tetapi itu sebahagian daripada arah pembuatan strategik normal,” kata Robertson. – MalaysiaGazette