Ismail Sabri Yaakob berbincang sesuatu dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang mengiringi beliau melawat pameran program pembangunan kementerian itu di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 9 JANUARI 2017.

PUTRAJAYA – Kakitangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diingatkan agar jangan puas hati dengan pencapaian membanggakan yang dilakarkan pada 2016.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya berkata, mereka perlu melipat ganda usaha dengan bekerja lebih keras agar kesinambungan program-program luar bandar dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau juga meletak harapan tinggi agar semua kakitangan KKLW dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa memastikan agar agenda pembangunan luar bandar dijadikan keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

“KKLW merupakan merupakan kementerian paling dekat dengan rakyat dan menjadi antara yang terpenting kepada kerajaan.

“Projek-projek yang akan dilaksanakan boleh disifatkan sentuhan kepada rakyat dan saya mahu projek-projek yang dirancang disiapkan cepat.

“Saya mahu semua projek-projek kecil sudah ada senarai pada bulan depan, jalan kampung mana nak buat, surau mana nak baiki dan lampu jalan mana yang nak ganti.

“Masuk bulan Mac, semua projek sudah boleh dimulakan dan siap sepenuhnya pada Jun depan. Namun ini bukan bermaksud Pilihan Raya Umum akan diadakan pada tahun ini pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2017 Menteri KKLW di kementerian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau sedar bahawa moral kakitangan KKLW telah jatuh pada awal tahun ini.

Jelasnya, awal 2017 disambut dengan perasaan  tidak gembira oleh kakitangannya berikut satu peristiwa sedih yang menimpa KKLW.

“Saya harap apa yang berlaku tidak melemahkan moral kakitangan kerana kita mempunyai agenda lebih besar untuk memakmurkan masyarakat luar bandar dan kita perlu bekerja kuat.

“Harapan rakyat kepada kementerian sangat tinggi kerana Perdana Menteri sudah umum macam-macam dalam Bajet 2017.

“Jangan hampakan harapan rakyat dan walau apapun yang berlaku, gerak kerja kita tidak berubah malah lebih baik pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail turut mengulangi komitmen pihaknya untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung penahanan salah seorang kakitangan tertingginya minggu lalu. – MalaysiaGazette