Datuk Liang Teck Meng

Minggu lepas, saya meluahkan kejutan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan bahawa jumlah lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP sejak tahun 2008 adalah disebabkan oleh penjualan tanah negeri.

Saya telah menyediakan pelbagai angka untuk membuktikan bahawa ia adalah sepertimana yang didakwa dan telah meminta beliau untuk mengajar saya matematik khas digunakan oleh beliau.

Guan Eng nampaknya telah tersinggung atas perkara ini dan mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menyerang saya dengan mengatakan bahawa saya tidak faham akaun dan memberikan pelbagai angka yang mengelirukan untuk mewajarkan serangan beliau.

Kenyataan beliau yang penuh dengan penghinaan, nampaknya merupakan serangan peribadi yang paling serius sejak bermulanya kerjaya politik Guan Eng.

Ini membuktikan bahawa kenyataan saya telah ‘memukul paku di kepala’ dan telah mendedahkan pembohongan beliau.

Walaupun berdepan dengan serangan peribadi, saya gembira kerana Guan Eng telah mengesahkan beberapa perkara yang telah dibangkit oleh saya di mana ia membuktikan bahawa propaganda berulang-ulang DAP adalah pembohongan secara terang-terangan.

Perkara pertama adalah Guan Eng telah mengesahkan bahawa perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkat tiga kali ganda sejak tahun 2008 hingga 2015.

Peningkatan besar ini akan berterusan kerana perbelanjaan mengurus di bawah bajet Pulau Pinang untuk tahun 2017 dijangka akan meningkat sebanyak 5 kali ganda berbanding dengan perbelanjaan mengurus pada tahun 2008.

Guan Eng berkata bahawa saya harus memuji beliau kerana masih mengekalkan lebihan walaupun peningkatan tiga kali ganda dalam perbelanjaan.

Beliau berkata ini adalah hasil daripada prinsip CAT Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP yang telah membawa kepada ‘kawalan kos dicapai melalui tender terbuka yang berdaya saing yang menawarkan harga yang terbaik kepada kita.’

Walau bagaimanapun, saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh beliau sebagai kawalan kos kerana dalam dunia sebenar ini bermakna bahawa perbelanjaan mengurus akan menurun dan bukannya melompat sebanyak 300 peratus.

Perkara kedua ialah Guan Eng akhirnya mengakui bahawa ungkapan yang sering digunakan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menjual lebih banyak tanah tetapi mendapat pulangan kurang daripada DAP adalah mengelirukan.

Guan Eng bersetuju bahawa kebanyakan ‘tanah’ yang dijual oleh BN dalam propaganda mereka sebenarnya merupakan hak tebus guna tanah – dan bukan tanah yang sebenar.

Bagaimanapun, Guang Eng masih mengelirukan orang ramai lagi dengan mengatakan bahawa BN Pulau Pinang telah menjual hak penambakan tanah dengan harga RM1 kaki persegi seperti dalam kes projek penambakan Tanjung Tokong.

Beliau nampaknya telah lupa bahawa hak RM1 kaki persegi ini juga berserta dengan syarat bahawa apabila kerja penambakan telah siap, pemaju perlu menyerah balik 10 peratus daripada tanah tebus guna dengan secara percuma kepada kerajaan negeri.

Ini merupakan tanah yang sama di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan untuk membiayai projek berkontroversi Terowong Pulau Pinang yang berharga RM6.34 bilion dan kos tinggi sebanyak RM305 juta untuk menjana laporan.

Ini membuktikan dakwaan bahawa BN Pulau Pinang menjual tanah atau hak tanah untuk RM1 kaki persegi sememangnya tidak benar kerana tanah itu diserah balik sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan kami adalah secara jelasnya lebih tinggi daripada itu.

Media perlu meminta Guan Eng untuk menjelaskan sama ada ini adalah benar.

Perkara ketiga yang Lim Guan telah menyatakan adalah bahawa beliau telah mengesahkan pelantikan saya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) yang baharu bermula pada 1 Disember 2016 walaupun beliau secara ganjilnya telahpun mulai menyalahkan saya atas pelbagai masalah air yang lepas sebelum pelantikan saya bermula.

Atas jawatan ini yang dipegang oleh saya pada masa sekarang, saya boleh mengesahkan propaganda DAP yang kerap digunakan iaitu ‘DAP Pulau Pinang telah mengurangkan hutang negeri sebanyak 95 peratus kerana CAT’.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah SPAN dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih RM655 juta hutang Kerajaan Negeri yang sedia ada dan ditukar kepada pajakan tahunan sebanyak RM14.56 juta, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membayar kepada Kerajaan Persekutuan selama 45 tahun di mana sebenarnya merupakan jumlah yang sama.

Oleh itu, daripada pinjaman ia ditukar kepada pajakan. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerah pelbagai aset air negeri dan tanah kepada Kerajaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan minggu lepas, Guan Eng mendakwa bahawa pendapatan yang digunakan untuk membayar 3 kali ganda peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan negeri datang daripada cukai tanah dan yuran tanah yang lain.

Laporan Ketua Audit Negara jelas menunjukkan bahawa pendapatan cukai tanah kekal statik.
Ia hanya meningkat dari RM93 juta pada tahun 2008 kepada RM104 juta pada tahun 2015 – secara jelasnya ia adalah tidak mencukupi untuk membayar peningkatan besar dalam perbelanjaan.

Apa yang telah menunjukkan peningkatan pesat adalah perkara yang dipanggil ‘Premium Tanah – Pemberian Hak Milik’ yang telah meningkat setiap tahun dari RM19 juta pada tahun 2008 kepada RM324 juta pada tahun 2015.

Ketua Audit Negara juga telah menjelaskan bahawa perkara ini adalah hasil daripada jualan tanah.

Antara tahun 2008 hingga 2015, ia berjumlah RM1.22 bilion – secara jelasnya ia adalah lebih tinggi daripada lebihan negeri terkumpul RM574 juta.

Angka-angka ini tidak termasuk aset-aset lain yang dijual oleh Penang Development Corporation (PDC) Pulau Pinang dan tanah yang dijual dalam urusniaga seperti RM6.34 bilion bagi Terowong Pulau Pinang dan tanah untuk membayar projek Pelan Induk Pulau Pinang sebanyak RM46 bilion di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah berkata mereka akan meminjam berbilion-bilion daripada bank-bank yang tidak dinyatakan secara spesifik.

Dalam perkara perakaunan yang berasingan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menerima bayaran untuk jualan tanah daripada PDC sebanyak RM173.5 juta di antara tahun 2013 dan 2015 – ini bermakna jumlah hasil daripada penjualan tanah negeri kini adalah berjumlah kira-kira RM1.4 bilion.

Pemeriksaan kami ke atas akaun tersebut juga menunjukkan bahawa di antara tahun 2010 dan tahun 2014, kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menutup pelbagai akaun pemegang amanah negeri seperti ‘Akaun Perumahan Awam Kos Rendah’ dan ‘Pinjaman Projek Bekalan Air Luar Bandar’ dan bakinya dipindah ke dana negeri yang digabung dan diiktiraf sebagai pendapatan negeri – ini membantu untuk menunjukkan bahawa lebihan negeri telah meningkat.

Jumlah pemindahan ini adalah sekurang-kurangnya RM240.19 juta.

Sekiranya kita mengecualikan kesan daripada penjualan tanah negeri dan helah perakaunan yang berkenaan dengan memindahkan akaun pemegang amanah untuk diiktiraf sebagai hasil negeri, kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berada dalam defisit bajet yang semakin teruk setiap tahun mulai tahun 2010.

Daripada lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta di antara tahun 2008-2015, ia akan menunjukkan jumlah defisit sebanyak RM1.057 bilion.

Beberapa bulan yang lepas, saya telah mencabar Guan Eng dan Penang Institute untuk mengesahkan 12 perkara berkenaan dengan keadaan ekonomi dan kewangan Pulau Pinang yang semakin merosot atau menyaman saya jika saya telah menyatakan apa-apa yang salah.

Antara lain, ia termasuk penemuan bahawa Pulau Pinang mengalami pertumbuhan gaji median yang terendah di antara tahun 2010 hingga 2015, pertumbuhan pendapatan isi rumah median keempat terendah di antara tahun 2009 hingga 2014 dan Pulau Pinang mempunyai pertumbuhan KDNK per kapita keempat paling teruk bagi tempoh tahun 2008 hingga 2015 – di mana negeri-negeri lain telah mengatasi Pulau Pinang.

Malangnya, cabaran saya tidak dilayan oleh kedua-dua YAB Lim dan Penang Institute yang hanya berdiam diri dan mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan ia enggan untuk menjawab soalan dikemukakan oleh saya.

Saya telah menegaskan sebelum ini bahawa aset jualan negeri untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran yang melambung tinggi setiap tahun adalah tidak mampan dan seolah-olah menjual ‘permata milikan keluarga’ – satu trend yang berterusan dengan jualan saham negeri dalam syarikat Pulau Jerejak dengan harga RM156 juta pada baru-baru ini dan tender lain untuk menjual tanah berikutan dengan jualan kepada EcoWorld Bhd yang telah dibatalkan.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus bergantung kepada propaganda palsu untuk memberi gambaran palsu atas prestasinya bagi mengelirukan rakyat Pulau Pinang.

Kenyataan Guan Eng terhadap saya pada minggu lepas sekali lagi membuktikan ini.–MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan