Home Nasional KKM siasat satu lagi kes komplikasi berkhatan

KKM siasat satu lagi kes komplikasi berkhatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai satu lagi komplikasi selepas berkhatan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan berkata, kanak-kanak itu telah melalui prosedur berkhatan di surau berhampiran rumahnya dalam majlis berkhatan beramai-ramai pada 25 November 2016 lalu.

Bagaimanapun, pada 27 November lalu, kanak-kanak tersebut dibawa ke Jabatan Kecemasan di Hospital Selayang setelah berlakunya pendarahan di kemaluan dan air kencing kanak-kanak tersebut mengalir keluar daripada lubang di bahagian bawah batang kemaluan (fistula korona), akibat kecederaan kepada saluran kencing.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang didapati tiada pendarahan aktif di kemaluan seperti yang dilaporkan akhbar.

Ibu bapa itu telah diberi penjelasan oleh Pakar Pembedahan Urologi Kanak-kanak rawatan pembedahan seelok-eloknya dilakukan setelah bengkak surut dan setelah saluran darah ke kepala kemaluan menjadi lebih lancar.

Fistula korona tersebut akan dirawat dengan pembedahan setelah tisu-tisu sekelilingnya sembuh, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kanak-kanak tersebut telah diperiksa secara rapi sekerap tiga kali sehari semasa di wad di Hospital Selayang.
Namun begitu, ibu bapa pesakit telah memutuskan untuk mendapat pendapat lain daripada pakar di hospital swasta dan menandatangani pelepasan keluar dari hospital atas tanggungan risiko sendiri.

Pihak Hospital Selayang telah memberikan ibubapa catatan rujukan ringkas buat hospital swasta yang berkenaan bagi menjelaskan status pesakit, selain memaklumkan kepada ibu bapa mereka boleh datang semula untuk mendapatkan rawatan susulan pada bila-bila masa.

Dr. Noor Hisham berkata, semua pengamal kesihatan yang menjalankan prosedur berkhatan perlu bertanggungjawab memastikan mereka mempunyai tahap kompetensi dan pengalaman yang mencukupi untuk menjalankan prosedur ini.

Mereka diingatkan bahawa sebarang komplikasi yang terjadi adalah di bawah tanggungjawab masing-masing pengamal kesihatan, katanya. – MalaysiaGazette