Kongsi
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memberi laluan khas kepada pelajar miskin tegar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim piatu untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan itu dibuat bagi membantu pelajar-pelajar tersebut mendapat pembelajaran yang sempurna.

Beliau berkata, pelajar tersebut mampu menjadi insan yang cemerlang pada masa depan cuma faktor persekitaran menjadi penghalang buat mereka.

“Macam pelajar miskin tegar ini mereka boleh berjaya dan cemerlang namun persekitaran mereka yang tidak dapat belajar dengan jadual teratur.

“Jadi Mara bersetuju untuk memberi laluan khas agar mereka mendapat pembelajaran dan makan minum yang sempurna.

“Pada masa sama, kementerian juga bersetuju untuk menurunkan syarat minima kemasukan ke MRSM kepada 3A, 3B kepada pelajar di Semenanjung dan 3A, 2B dan 1C untuk pelajar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2017 Menteri KKLW di kementerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan meneruskan projek pembangunan MRSM dengan peruntukan sebanyak RM29.25 juta termasuk RM50 juta untuk kerja-kerja senggaraan. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan