SALAHUDDIN AYUB

Parti Amanah Negara (PAN) akhirnya bersetuju dengan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) dan berpendapat dan bersetuju Parlimen menjadi platform pihaknya memberikan cadangan.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata, satu usul yang mengandungi cadangan-cadangan bagi mencapai maksud memperkasa peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud pada sesi belanjawan tahun lepas.

“Pendirian serta cadangan PAN berhubung usul RUU355 akan diberikan di Parlimen apabila usul ini diterima untuk dibahaskan pada mana-mana sesi parlimen akan datang.

“Kami berpandangan Parlimen adalah pentas yang paling sesuai untuk usul ini dibentang dan dibahaskan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Salahudin itu menunjukkan parti serpihan Pas itu lebih terbuka dalam soal penambahbaikan hukuman mahkamah syariah walaupun ia masih ditentang oleh parti pembangkang lain.

Sebelum itu, seorang lagi pimpinan PAN, Datuk Dr. Mujahid Rawa antara ahli parlimen yang selalu mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membacakan RUU355 di Parlimen.

RU355 sering disalahtafsir sebagai ‘pintu belakang’ kepada perlaksanaan hukuman hudud kerana usul persendirian itu dibawa oleh Presiden Pas.-MalaysiaGazette