Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis Ucapan Amanat Tahun Baru 2017 KKLW di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 09 JANUARI 2017

PUTRAJAYA – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak cakap-cakap nakal yang mengatakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak lagi mempunyai wang untuk meneruskan tajaan biasiswa ketika ini.

Tegas beliau, realitinya pada tahun 2017 ini Mara tetap meneruskan pemberian biasiswa dengan peruntukan RM2 bilion kepada pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera.

“Satu pembohongan besar Mara dikatakan tidak ada wang. Macam-macam cerita orang buat kata Mara tidak akan  taja pelajar lagi.

“Mara masih ada wang namun tahun ini kita akan fokus kepada tajaan pelajar di dalam negara dengan mengadakan program berkembar bersama universiti luar negara.

“Contohnya jika dahulu kita menaja pelajar dari program asas hingga tamat belajar di luar negara. Namun selepas ini kita akan menaja mereka bermula program asas, tahun pertama dan kedua di dalam negara.

“Tahun ketiga dan akhir baru mereka pergi belajar dengan universiti di luar negara yang mempunyai program berkembar.

“Mara juga akan menukar kaedah dengan menghantar pelajar program perubatan yang di negara yang kosnya lebih murah seperti di India dan program kejuruteraan di Jerman dan Perancis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2017 Menteri KKLW di kementerian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, Mara akan membuka cawangan pusat perniagaan barangan elektronik dan teknologi maklumat (IT) atau Digital Mall di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Jelasnya, pembukaan berkenaan kelak sebagai meneruskan komitmen kerajaan membantu peniaga bumiputera dalam cabang perniagaan tersebut.

Menurutnya, sebagai permulaan, Digital Mall akan dibuka Seremban, Kuala Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Melaka dan Kota Bahru.

“Digital Mall mempunyai potensi untuk dikembangkan ke seluruh negara selepas kejayaan pembukaan di Bangunan Mara Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor pada tahun lalu.

“Pada 2016, sebanyak 1,680 peluang pekerjaan dan 560 peluang perniagaan kepada para usahawan Bumiputera telah diwujudkan dengan nilai keseluruhan jualan kira-kira RM15.49 juta,” katanya. – MalaysiaGazette