Noh Omar pada sidang media di SACC, Shah Alam

SHAH ALAM – UMNO Selangor sentiasa menyokong kerajaan negeri itu menjalankan kempen melarang penggunaan beg plastik di pasar raya dan pusat beli belah dengan tujuan untuk menyelamatkan bumi dari pencemaran alam sekitar.

Bagaimanapun, pada masa sama, Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar membidas kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada pasar raya berkenaan menjual plastik kepada pengguna.

“Cakap hendak selamatkan bumi dan alam sekitar dari pencemaran plastik, tetapi galakkan pula pasar raya atau pusat beli belah menjual beg plastik.

“Sepatutnya mereka menyediakan alternatif kepada orang ramai yang memerlukan beg plastik, bukan menjualnya untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, beliau pernah pergi ke Melaka, di mana negeri pertama memperkenalkan ‘Hari Tanpa Plastik’.

Kata beliau, kerajaan negeri itu mengeluarkan arahan kepada semua pasar raya agak menyediakan alternatif lain seperti beg plastik mesra alam tanpa mengenakan bayaran.

“Di negeri Selangor, larang orang ramai guna beg plastik, tetapi mereka digalakkan membeli beg plastik itu jika hendak menggunakannya.

“Seronoklah kerajaan negeri dapat untung, pasar raya juga untung dengan hasil jualan beg plastik, yang sebelum ini diberi secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan negeri tidak menguatkuasakan larangan penjualan beg plastik secara berleluasa di pusat beli belah, nescaya dasar untuk menyelamatkan bumi dari pencemaran alam sekitar tidak akan mencapai objektif.

Noh turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pusat beli belah menjual beg plastik sehingga 20 sen sehelai, sekali gus menambahkan lagi beban rakyat.

“Akhirnya dasar yang diamalkan ini menyusahkan rakyat. Yang untung ialah pihak tertentu,” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Noh meminta semua JKKKP yang baru dilantik ke jawatan itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana mereka membawa imej kerajaan.

Ujar beliau, JKKKP adalah mata dan telinga kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat terutama di peringkat akar umbi.

“Mereka harus bijak menangani permasalahan di bawah dan berlaku adillah kepada semua tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya. – MalaysiaGazette